Datanglah Semangat

13 September 2013

Hapuskan Dendam Di Matamu


 

Zariz Fattah!

Itulah nama lelaki yang telah menghancurkan hidupnya. Seluruh hidupnya musnah dalam sekelip mata. Memori terburuk itu tak kan pernah sesekali dia lupa. Kejahatan lelaki itu pasti dia akan balas suatu hari nanti. Hari ini lelaki itu boleh terlepas, tapi lain kali lelaki itu akan menerima pembalasannya.

Dia menggosok perutnya yang membukit. Kandungannya sudah masuk 8 bulan. Tidak lama lagi dia akan melahirkan anak itu bersendirian tanpa sesiapa menemaninya. Setelah habis exam SPM dia terus keluar dari rumahnya pada waktu malam tanpa sesiapa pun menyedarinya. Pasti kedua ibu bapanya risau tentangnya. Setelah keluar dari rumah, dia tidak tahu ke mana harus dia tuju. Akhirnya, dia menemui sebuah rumah usang. Sejak itu dia berada di situ sehingga ke hari-hari terakhirnya.

“Liz, nanti kau balik dengan aku yer. Nanti abang aku ambil. Aku akan hantar kau sampai ke rumah.” Beritahu Zana semasa mereka tiba di Pusat Tuisyen Hasanah. Liza hanya mengangguk.

Pasti Zariz Fattah yang akan mengambil Zana. Dia pernah berjumpa dengan abang Zana. Lelaki itu sangat baik. Abang Zana sering mengajak mereka pergi ke taman tema Sunway Lagoon dan belanja mereka berdua makan aiskrim.

Setelah mereka keluar daripada pusat tuisyen, Zariz Fattah sudah sedia menanti mereka berdua. Malam itu Zariz Fattah sangat kacak walaupun simple sahaja pakaiannya hanya seluar jeans dan bert-shirt putih. Sesiapa yang melihat pasti tertawan. Apa yang difikirkan benar-benar terjadi. Beberapa orang pelajar perempuan tersenyum-senyum pada Zariz Fattah. Dan tak kurang juga ada yang berteriak. Macam artis pulak. Melihat mereka mengada-ngada hatinya seolah-olah cemburu. Apakah dia telah jatuh cinta dengan abang Zana? Tidak! Tidak! Dia masih muda. Selagi belum habis belajar dia takkan jatuh cinta apalagi bercinta. Itu tekadnya.

“Jom,” ajak Zariz Fattah sambil tersenyum menggoda padanya. Dia hanya senyum biasa sebagai tanda hormat orang yang lebih tua lima tahun darinya.

Sewaktu di dalam kereta, Zana galak bercerita itu ini. Dia pula hanya menyampuk sekali sekala. Zariz Fattah yang memandu sering kali memandang dari belakang. Seperti biasa mengukir senyuman menggoda padanya. Seperti biasa juga dia hanya tersenyum biasa. Tiba-tiba Zariz Fattah memandu ke arah rumah mereka bukan rumahnya. Dia pula tidak rasa apa-apa apabila Zariz Fattah berhenti di depan rumah mereka.

“Zana turun dulu. Biar abang hantar Liz ke rumahnya,” ujar Zariz Fattah seketika. Setelah melihat wajah Zana yang seolah-olah berat hati untuk membenarkannya menghantar kawan baiknya dia berjanji untuk menghantar Liza balik ke rumahnya dengan selamat.

“Zana jangan risau abang akan hantar Liz sampai ke rumahnya dengan selamat. Liz, nanti abang hantar Liz balik rumah yer.” Pintanya pada Liza. Liza sebenarnya risau jikalau dia balik berduaan dengan Zariz Fattah. Nanti apa pula kata ayahnya. Ayahnya memang tidak suka dia keluar berdua-duaan dengan lelaki. Takut jadi apa-apa pada anak gadisnya.

“Liz, sorry aku tak dapat nak hantar kau balik. Nanti abang aku hantar kau balik. Kau jangan risau yer. Abang aku baik. Dia pasti akan hantar kau dengan selamat sampai depan rumah kau.” Bersungguh-sungguh dia bercakap. Dia berfikiran. Zariz Fattah seorang yang baik. Tidak pernah Zariz Fattah mengambil kesempatan padanya sebelum-sebelum ini. Pasti Zariz Fattah akan menghantarnya balik ke rumahnya dengan selamat.

“Abang hantar Liz balik betul-betul depan rumah dia tau,” ujar Zana lagi dan Zariz Fattah mengangguk.
“Iye!!! Abang akan hantar kawan Zana ni betul-betul depan rumah dia. Abang janji. Liz pun jangan risau, nanti abang akan hantar Liz depan rumah dengan selamat.”

Sewaktu di dalam kereta, Zariz Fattah bercakap-cakap dengannya. Sepatah lelaki itu bertanya, sepatah sahaja dia menjawab. Dia bukannya gadis yang suka bercakap-cakap seperti Zana. Dia tidak terlalu mesra tetapi dia bukanlah seorang yang sombong.

Ketika melalui lorong gelap, tiba-tiba sahaja Zariz Fattah berhenti. Dalam hati semua doa dibacakannya agar mudah-mudahan dia selamat dan tidak dipengapakan. Tapi apakan daya syaitan durjana sememangnya suka mengacaubilau orang-orang apabila berduaan dengan lelaki yang bukan muhrim. Malam itu menjadi titik ngeri buatnya apabila dia dirogol dengan rakus oleh syaitan durjana bertopengkan manusia itu tanpa sedikit belas kasihan.

Dia pernah merayu pada Zariz Fattah, tapi lelaki itu tidak mendengar rayuannya. Sebagai seorang perempuan yang lemah, dia hanya mampu menangis apabila lelaki itu dengan rakusnya merobek satu-satunya mahkota seorang perempuan yang selayaknya hanya diberikan pada lelaki yang berhak iaitu suaminya. Apakandaya dia tidak mampu mempertahankan kesuciannya itu.

Setelah merobek kesuciannya, lelaki itu tiba-tiba meminta maaf. Maaf tidak akan pernah diberikan kerana kemaafan itu hanya layak untuk diberi pada sesuatu kesalahan yang kecil. Kalau berkaitan ini, minta ampun pun tidak mampu diberikan apatah lagi maaf.

Selepas itu, dia dihantar balik ke rumahnya. Memang dia selamat sampai tapi setelah selamat mahkotanya 
diragut. Sebelum dia keluar daripada kereta, Zariz Fattah sempat menggugutnya supaya tidak menceritakan hal ini pada orang lain hatta keluarganya sendiri. Kalau tidak Zariz Fattah akan memperkosanya lagi.

Kerana takut dengan ugutan itu, tidak pernah sekalipun dia menceritakan hal itu. Sebulan kemudian dia didapati hamil setelah menguji dengan test pregnancy. Ketika kandungannya masuk 2 bulan, dia mula mengikat perutnya untuk melindungi perutnya yang semakin hari semakin membesar. Pernah sekali Zana bertanya dia hanya mampu menjawab ‘sekarang ni aku kuat makan, itu yang tubuh aku makin berisi.’ Dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaannya ketika itu.

Selepas kejadian itu, dia tiba-tiba berhenti daripada pusat tuisyen. Dia juga jarang mengulangkaji pelajaran di rumah Zana. Dia benci untuk berhadapan dengan Zariz Fattah. Itu sebab dia jarang berjumpa Zana walau Zana sering mengajaknya. Lagipun dia tidak mahu lelaki itu tahu yang dia sedang mengandungkan anak lelaki itu.

Setiap kali dia teringat kejadian itu, hatinya hiba. Sedih mengenangkan hidupnya yang telah musnah tanpa relanya. Demi anak dalam kandungannya, dia harus kuat. Dia tidak boleh lemah lagi. Saat kekuatannya datang, dia bertekad untuk membalas dendam suatu hari nanti.

Dia juga berjanji pada dirinya, dia takkan pernah sesekali memaafkan syaitan itu.

“Dendam aku pada kau takkan sesekali aku lupakan. Sampai mati pun aku tak kan maafkan kau syaitan!!!” 

Dia bertempik sambil melemparkan botol air yang masih berbaki sedikit. Dia bertempikan sebagai luahan rasa sakit hatinya. Rasa bencinya. Tiba-tiba perutnya sakit. Apakah mungkin dia sudah ingin bersalin. Perutnya teramat sakit. Sangat-sangat sakit. Dia menyandar kemas di dinding. Dinding itu digunakan sebagai kekuatannya. Dia menarik nafas dan menghembuskan nafas beberapa kali bagi mengurangkan kesakitan.

Dia mengambil kain batik dalam beg bajunya. Kain batik itu digunakan untuk membalut anaknya nanti. Manakala kain kecil pula dimasukkan ke dalam mulutnya. Kain itu akan digunakan sebagai kekuatan untuk dia meneran anaknya nanti.

Duduknya bertinggung supaya mudah untuk anak itu keluar. Manakala kedua-dua tangannya bersedia untuk menyambut anak itu. Dia menarik nafas dalam kemudian dihembusnya. Kain tadi digigitnya dengan kuat. Dia sudah tidak dapat menahan lagi. Dia meneran dengan segala kudratnya. Dengan sekali push, anaknya terus keluar dengan selamat. Sebaik keluar terus bergema tangisan bayi di ruang tamu di rumah usang itu. Banyak darah keluar berserta dengan urinya sekali sehingga membasahkan di sekitar ruangan itu.

Dalam keadaan tidak berdaya itu, dia mendakap anaknya dengan seerat-eratnya. Sekali lagi dia menangis di situ. Kesakitan tadi tiba-tiba menghilang setelah melihat anak itu. Kain batik yang dikeluarkannya tadi, membalut badan anaknya yang dipenuhi darah. Kemudian dia mengambil air dalam botol lalu dibasahkan ke muka anaknya.

Dua hari kemudian, dia bercadang untuk keluar dari rumah usang itu. Dia ingin pergi dari situ. Di tengah-tengah malam dia keluar dari rumah itu. Dia berjalan-jalan di lorong gelap. Dia ingin mencari sebuah rumah untuk meninggalkan bayinya itu. Dia terpaksa tinggalkan anaknya sebab dia tidak mahu sesiapa pun tahu tentang kelahiran anak luar nikah itu.

Dia berjalan-jalan lagi. Setelah mengenal pasti sebuah rumah banglo yang tersergam indah itu, dia meninggalkan anaknya di situ. Dia mencium anaknya buat kali terakhir. Dengan hati yang berat dia meninggalkan bayinya di depan pagar. Dia melangkah dan terus melangkah tanpa berpaling sekalipun ke arah anaknya. Dia pasti anaknya akan dijaga dengan baik oleh orang dalam rumah itu. Sekian kalinya air matanya tumpah setitik demi setitik.

Tuan rumah yang lena tidur, akhirnya terjaga sebaik terdengar raungan bayi. Kedua-dua pasangan suami isteri itu pantas keluar dari banglo dan menuju ke arah suara itu. Mereka terus membawa masuk bayi itu ke dalam rumah mereka. Anak itu semakin galak menangis sehingga mengganggu lena seorang lagi lelaki yang masih tidur dengan pulas. Sebaik mendengar suara menangis, dia terus turun ke bawah dengan matanya yang masih belum terbuka sepenuhnya.

“Mama, papa... Siapa pulak yang menangis ni? Orang nak tidur pun tak bolehlah. Mengganggu saja.”

“Kamu ni kenapa? Tak ada belas kasihan langsung. Cuba kamu tengok ni siapa dalam kendongan mama ni?” Puan Fatihah menunjukkan bayi dalam kendongannya pada anak lelakinya. Zariz Fattah terkejut melihat bayi ini. Mata yang tadi tertutup kini sudah terbuka luas.

“Bayi? Anak siapa pulak ni? Macam mana bayi ni boleh berada dengan mama papa?” Soalnya bertubi-tubi dengan wajah yang pelik.

“Manalah mama tahu. Papa terjumpa depan rumah tadi. Entah siapa yang membuangnya. Dahlah comel. Mama rasa mama nak jadi kan dia sebagai cucu angkat mama la. Bolehkan abang?” Tiba-tiba Puan Fatihah membuat keputusan untuk mengambil anak itu sebagai cucunya. Tuan Zain hanya mengangguk. Dia pun suka kalau ada bayi dalam rumah ni. Bertambah meriahlah rumah dia nanti. Zariz Fattah pula tidak bersetuju.

“Mama papa. Apa semua ni? Kita tak tahu anak siapa, lepas tu pulak nak jadikan cucu angkat. Zariz tak setuju.”

Zana yang baru tersedar, terus bertanya sambil kakinya melangkah turun tangga.

“Mama papa, abang. kenapa bising-bising ni? Eh... ada bayi. Anak siapa ni mama. Comellah.” Zana terus mengambil bayi itu daripada kendongan mamanya. Dia mencium bayi comel itu yang sedang tidur.

“Mama nak angkat bayi ni sebagai cucu mama. Zana setuju tak?” Soalnya pada anak bongsunya pula. Kalau semua tak setuju, dia tetap juga mahu mengambil bayi itu sebagai cucunya. Nak tunggu Zariz kahwin, tak mungkin. Zariz tak suka kahwin awal. Kalau boleh umur 30 tahun ke atas baru nak kahwin. Kalau dia tak ambil cucu angkat yang dah ada depan mata ni, nampak gayanya lambat lagilah dia hendak bercucu.

“Zana setuju je mama. Zana pun suka kalau ada baby dalam rumah ni.”

“Semua dah setuju kecuali abang kamu. Tapi tak pa, mama tetap nak ambil bayi ni sebagai cucu mama. Kalau Zariz tak puas hati dengan keputusan mama ni, ada mama kisah.” Bila semua bersetuju, wajah Zariz Fattah berubah kelat. Kalau semua dah setuju, apa dia boleh buat. Terima ajelah.

“Abang tak nak tengok ke? Zana tengok baby ni macam ada iras-iras abang la. Macam anak abang je.” Terkejut Zariz Fattah apabila adiknya berkata begitu.

“Kau jangan nak mengarut. Abang kesayangan kau ni masih belum kahwin. Macam mana tiba-tiba boleh dapat anak pulak?” Zariz Fattah tiba-tiba naik angin bila adiknya berkata begitu.

“Nak bergurau sikit pun tak boleh. Itu pun nak marah.” Zana menjelirkan pada abangnya. Zariz Fattah juga membalas dengan jeliran juga.
........................................

Setelah enam tahun, dia kembali ke tanah air.  Kini, dia telah berjaya menggenggam segulung ijazah dari Seoul University, Korea. Sebulan selepas dia balik, dia berjalan-jalan di sekitar KLCC. Semasa dia sedang membelek buku-buku di MPH Bookstore dia terserempak dengan Zana yang kebetulan sedang mencari buku. Zana yang menegurnya dahulu.

“Eh... Liz bila kau balik? Tak cakap pun dengan aku yang kau dah balik malaysia. Sampai hati kau.” Zana terus buat muka kecewa. Liza pula hanya tergelak kecil dengan wajah buat-buat kecewa Zana.

“Sorry, bukan aku tak nak beritahu kau. Sengaja nak beri kejutan buat kau. Aku baru je balik sini.”

“Iyalah kejutan. Eh... Jomlah kita lepak dulu. Dah lama kita tak berbual kan?”

“Bolehlah.” Liza bersetuju.

Mereka singgah sebentar di restoran yang tidak berapa jauh daripada KLCC.

“Macammana kehidupan kau kat sana? Okay? Kau ada tersangkut mana-mana mamat korea tak?” Liza tergelak kecil dengan pertanyaan Zana. Zana memang peminat fanatik korea. Dia ingat lagi, dalam simpanan Zana berpuluh-puluh keping VCD dari negara itu.

“Kehidupan aku kat sana okay je. Ada jugak tersangkut tapi nak buat macam mana tak ada jodoh.”

“Serius eh kau ada tersangkut dengan seseorang kat sana?” Zana buat muka tidak percaya.

“Tak adalah aku gurau je.” Sekali lagi dia tergelak kerana dapat mengenakan Zana. Tapi memang betul, dia ada tersangkut pada seseorang. Kacukan Korea-Melayu. Tapi apa daya mereka berdua tiada jodoh.

“Kau datang dengan apa?” Soal Liza.

“Aku datang dengan train. Malaslah nak drive. Dahlah hujung-hujung minggu macam ni. Sesak dengan kereta tu semua. Nanti bolehlah kau hantar aku? Nanti kita sambung berbual kat rumah aku,” ajak Zana bersungguh-sungguh.

“Boleh. Tak ada masalah.” Liza mengangguk. Dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan lelaki itu. Selama enam tahun dia menyimpan dendam. Selama itu, dia mengumpul kekuatan agar bila dia berhadapan dengan Zariz Fattah lagi, dia tidak akan takut walau Zariz Fattah menggugutnya seperti dulu. Dia kini sudah menjadi orang baru. Liza yang dulu telah terkubur seiring dengan waktu.

Sebaik menghantar Zana balik ke rumah, Zana mengajaknya singgah sebentar. Dia menurut sahaja. Sebaik masuk ke dalam banglo Zana, dia tercari-cari wajah yang dirindu saban malam. Dia pasti anak itu masih ada dalam rumah itu. Ternyata anak itu benar-benar ada sebaik dia terpandang frame gambar yang tergantung di satu sudut dalam rumah bangglo itu. Anaknya sudah besar. Kalau diikutkan, anaknya sudah berumur enam tahun. Pasti sudah bersekolah tadika.

“Kau duduk dulu yer. Aku buat air sekejap.” Liza mengangguk. Sebaik mendengar bunyi derapan kaki seseorang yang turun tangga, dia pantas duduk. Tiba-tiba sahaja hatinya bedebar-debar. Dia cuba menyembunyikan gelodak dendam yang semakin mencengkam dadanya.

Zariz Fattah turun tangga. Semalam dia telah berjanji dengan Nurin Natasya untuk mengajak anak itu pergi shopping. Sudah lama mereka berdua tidak membeli-belah. Sebaik turun dia terpandang seseorang berada di sofa di ruang tamu. Gadis itu membelakanginya.

‘Pasti kawan Zana,’ detiknya. Dia memanggil anaknya yang masih belum lagi turun.

“Tasya, cepat sikit sayang. Kata nak pergi shopping.” Laung Zariz Fattah dari bawah. Liza mendengar suara Zariz Fattah. Benci dia dengan suara itu. ‘Sayang! Apakah lelaki itu telah berkahwin,’ telah hatinya.

“Tasya dah siap papa. Jap lagi Tasya turun.” Laung Nurin Natasya dari biliknya. Apabila terdengar suara anak itu, barulah kini dia tahu Zariz Fattah telah mengambil anak itu sebagai anak angkatnya. Kalau tidak masakan anak itu memanggil Zariz Fattah papa.

Sementara menanti anaknya, dia mendapatkan tetamu yang masih berada di sofa. Terkejut dia sebaik melihat wajah itu. Perasaan cinta dan sayang terhadap gadis itu kembali menggunung. Sudah lama dia menanti kehadiran Liza. Sejak kejadian malam tu, dia rasa bersalah kerana merosakkan Liza. Dulu dia berfikiran sempit. Sekarang dia telah menyesal dengan perbuatannya itu.

“Liz! Bila Liz pulang?” Soalnya pada Liza. Liza buat-buat tidak mendengar pertanyaan Zariz Fattah.

“Papa... Tasya dah siap. Siapa ni papa?” Soalnya pada papanya sebaik menyedari tetamu yang tidak diketahui siapa gerangannya.

Dia berpaling pada Nurin Natasya sebaik dia mendengar suara anak itu berhampiran telinganya. Matanya tiba-tiba berkaca. Perasaan rindu untuk memeluk anak itu membuak-buak. Sudah lama dia mengimpikan untuk mencium pipi gebu itu. Tapi, sekarang dia tidak boleh. Nanti apa pula kata orang dalam rumah ini apabila dia mencium anak itu nanti. Saat ini dia hanya mampu memandang sahaja.

“Kawan che su. Salam dengan Auntie Liz.” Nurin Natasya menurut arahan papanya. Dia mencium tangan yang bernama Auntie Liz itu. Dia duduk di sebelah papanya. Kemudian dia berbisik sesuatu di telinga papanya

“Cantiklah auntie ni papa. Tasya suka dia la.” Zariz Fattah ketawa kecil sebaik mendengar ayat itu. Itu sebab dia suka wajah itu. Kerana kecantikan semula jadi itu dia terpikat. Tapi kerana hatinya yang jahat, dia sanggup memusnahkan hidup gadis itu. Dia memandang wajah Liza, tapi Liza tidak memandangnya. Mungkin Liza tidak berani bertentang matanya. Atau mungkin Liza masih belum memaafkannya di atas perbuatannya itu.

“Tasya nak tak kalau dia jadi mama Tasya? Tapi, Tasya jangan beritahu che su, atuk dengan nenek tau.” Secara spontan dia berbisik di telinga anak itu dan anak itu tiba-tiba...

“Nak... Nak...” sebaik mendengar ayat pertama itu, terus dia bersorak gembira. Sebaik mendengar perkataan nak keluar dari mulut anak itu, Zana pantas bertanya sambil membawa dulang berisi jus oren.

“Apa yang nak ni Tasya?”

“Tak ada apalah che su. Jomlah papa. Tadi kata nak shopping.” Dia berkata sambil mengeleng kepalanya. Dia menarik lengan sasa papanya supaya bangun. Dia sudah tidak sabar untuk keluar shopping dengan papanya.

Zariz Fattah ingin menatap lagi wajah Liza, tapi kerana Nurin Natasya sudah tidak sabar untuk keluar dia membatalkan niat itu. Dia pasti akan ada peluang lagi untuk menatap wajah itu.

Selepas bersalam, Nurin Natasya berkata sesuatu pada Liza.

“Auntie, nanti datangla umah Tasya lagi. Boleh kita main-main.” Ajak anak itu. Liza hanya mengangguk dan cuba menyembunyikan perasaan rindunya. Zariz Fattah hanya mendengar anaknya berkata-kata. Dia berharap Liza sudi bertandang ke rumahnya lagi. Dengan persetujuan itu dia yakin, Liza akan datang lagi memandangkan Nurin Natasya mengajaknya. Pasti Liza tidak mahu mensiakan permintaan anak kecil itu.
Liza memandang anak itu setelah kelibat Nurin Natasya menjauh pergi dengan Zariz Fattah. Dia berkalih memandang semula Zana.

“Siapa budak tu?” Soal Liza sengaja bertanya walaupun dia sudah tahu siapa anak itu. Dia perasan anak itu ada irasnya. Bibir dan kening seakan menyerupainya.

“Namanya Nurin Natasya. itulah budak yang aku cakap kat kau dulu. Mama aku ambil dia sebagai cucu angkat dia. Tapi bila umur dia setahun lebih, abang aku tu pulak nak ambil dia sebagai anak angkat dia. Padahal dulu dia tak setuju mama aku ambil sebagai cucu angkat. Entah kenapa dia tiba-tiba suka. Lekatlah sampai sekarang. Lagipun, kalau abang aku ambil tasya tu sebagai anak angkat dia, sekurang-kurangnya dia dapat merasai kasih seorang ayah walaupun tidak tahu siapa ibu bapa kandungnya.” Berjela-jela Zana bercerita. Ayat di hujung membuatkan hati Liza bagai dilambung ombak.

Liza berdehem sebelum meminta diri.

“Tak palah Zana. Aku balik dulu. Nanti kita berbual lagi.” Zana mengangguk. Liza pula sudah bersedia untuk bangun.

“Nanti kirim salam kat abah dengan ibu kau,” kata Zana selepas mereka berpelukan.

“Insha Allah.... aku balik dulu yer,” pinta Liza sebelum berlalu dari rumah itu.
...................................................

Setelah pulang dari kerja petang itu, ibunya memberitahunya ada orang masuk meminangnya. Apabila bertanya siapakah gerangannya, ibunya berkata Zariz Fattah. Terkejut juga dia apabila diberitahu Zariz Fattah yang meminangnya. Setelah dua minggu, barulah dia dapat membuat keputusan itu. Sukar juga untuk dia terima. Tapi hatinya yang satu lagi memberi alasan. Bila dia terima Zariz Fattah, dia berpeluang mendekati Nurin Natasya dan seterusnya dapat membalas dendam pada lelaki itu. Kerana itulah dia menerima Zariz Fattah. Kalau bukan hal yang satu itu, tidak sekalipun dia ingin menerima Zariz Fattah. Seolah-olah dia menyerah diri dan jatuh ke dalam tangan lelaki jahat itu.

Tiga bulan kemudian mereka mendirikan rumah tangga. Di hadapan semua orang dia berlakon bahawa dialah wanita paling bertuah kerana dapat mendampingi lelaki sekacak Zariz Fattah. Tapi di belakang dialah pengarah yang berjaya mencipta scene yang hebat itu.

Semasa mereka berada dalam bilik, seboleh-bolehnya dia cuba mengelak dari lelaki itu. Dia tidak membenarkan Zariz Fattah menyentuhnya. Cukuplah sekali itu Zariz Fattah menyentuhnya tanpa rela. Walaupun sekarang ini dia isteri kepada lelaki itu, dia tak kan sesekali membiarkan Zariz Fattah menyentuhnya.

Zariz Fattah cuba menyentuh Liza, tapi Liza cepat-cepat mengelak.

“Kenapa ni? Kitakan dah sah suami isteri. Tak kan abang tak boleh menyentuh sayang.” Meluatnya dia rasa apabila lelaki itu memanggilnya sayang. Hendak termuntah rasanya. Dia menarik nafas dan cuba mengumpul kekuatan untuk menatap tajam mata Zariz Fattah.

Setelah mendapat kekuatan itu, dia berpaling menghadap suaminya. Dia menatap tajam mata Zariz Fattah tapi Zariz Fattah membalasnya dengan renungan lembut. Dia tidak akan terpedaya dengan renungan lembut itu. Hatinya sedang membara untuk membalas dendam. Dia terus menatap mata Zariz Fattah dengan tajam. Akhirnya Zariz Fattah mengalah setelah yakin isterinya tidak akan mengalah. Sinaran dendam dalam mata Liza dapat dilihatnya.

“Okay, tell me why I can’t touch you... hmm?” ujar Zariz Fattah dengan lembut. Dendam dalam mata isterinya akan diubah menjadi sayang. Dia perlu berusaha memenangi hati Liza perlahan-lahan.

“Kau sanggup menyentuh isteri yang dah ditebuk tupai?” Liza membalas soalan Zariz Fattah dengan soalan juga. Dia tidak perlu menjawab pertanyaan lelaki itu sedangkan lelaki itu tahu kenapa.

Terkejut Zariz Fattah apabila Liza membahasakan kau dengannya dan dia lebih terkejut dengan ayat terakhir yang keluar dari bibir cantik itu.

“Maksud sayang?” Zariz Fattah membalas pertanyaan Liza dengan soalan balik walhal dia tahu apa yang dimaksudkan oleh Liza. Liza tahu Zariz Fattah sedang berpura-pura dengannya dan sengaja menyuruhnya mengingati kembali peristiwa yang menjahanamkan seluruh hidupnya.

“Takkan kau dah lupa apa yang kau buat enam tahun lalu.” Kasar suara dia menuturkan kata itu. Pandangan matanya masih lagi tajam. Sebaik perkataan itu menerjah cuping telinganya, Zariz Fattah mengeluh kecil. Dia ingatkan Liza sudah melupakan peristiwa itu. Ternyata peristiwa itu memberi kesan mendalam pada jiwa isterinya.

“Abang tak pernah lupa. Kerana itu abang meminang Liz sebab abang nak bertanggunggjawab. Abang ingatkan Liz dah melupakan hal itu sebab itu Liz terima abang.” Ayat terakhir Zariz Fattah, menyebabkan gelodak dendam Liza semakin membara. Semudah itukan dia mahu melupakan peristiwa hitam itu. Semudah itukan dia dapat melupakan dirinya dinodai tanpa sedikit pun belas kasihan. Berkali-kali dia merayu tapi Zariz Fattah tetap tidak menghiraukan rayuannya.

“Oo.. Kau ingat aku terima kau sebab aku dah lupa. Kau ingat aku boleh lupa tentang tu. Kau jangan nak bermimpilah kalau kau ingat aku dah lupa. Sampai mati pun aku tak kan pernah lupa apa yang telah kau buat.” Kuat dia menekan ayat terakhir itu. Walau dia hiba apabila mengungkit kembali kisah dulu, dia tak kan menunjuk lemah di hadapan lelaki itu. Dia tak kan mensia-siakan kekuatan yang dia kumpul sejak bertahun-tahun dulu.

“Abang tahu Liz tak kan pernah melupakan hal tu. Mana-mana perempuan pun tak kan pernah dapat lupa dirinya ternoda sebelum masanya. Tapi abang benar-benar dah menyesal dengan apa yang abang dah buat. Itu sebab abang meminang Liz. Abang nak bertanggungjawab dan menebus balik kesilapan lalu.” Zariz Fattah cuba menyentuh Liza, mengharapkan Liza membalas sentuhan itu. Seperti tadi juga, Liza mengelak daripada disentuh. Melihat tangan Zariz Fattah pun dia sudah jijik apalagi tubuhnya. Tangan itulah yang menutup mulutnya saat dia menjerit dan merayu agar dia tidak dipengapakan.

“Okay... abang tak kan sentuh Liz kalau itu yang Liz mahu. Abang masih perlu tahu kenapa Liz terima pinangan abang kalau Liz masih belum maafkan abang?” Kalau bukan sebab itu pasti ada sebab lain sehingga Liza terima pinangan dia. Dia ingat Liza akan menolak, tapi tak sangka Liza menerima lamaran dia. Kerana itu dia berfikiran Liza sudah memaafkannya.

Liza cuba menarik nafas kemudian menghembusnya dengan perlahan. Dia tidak mahu apa yang akan diberitahunya nanti dapat ditangkap oleh Zariz Fattah. Dia perlu berhati-hati dengan tindakannya dan dia juga perlu mengatur rancangan perlahan-lahan.

“Nurin...” Hanya itu tapi sebutan nama itu membuatkan Zariz Fattah pelik. Apakah kaitan Nurin Natasya dengan hal Liza menerima pinangannya.

“Liz terima abang sebab tasya? Tak mungkin Liz terima abang sebab tasya.” Zariz Fattah mengeleng. Tidak percaya yang Liza menerima dia sebab Nurin Natasya. Ingin bertanya lagi, tapi Liza sudah menghampiri sofa untuk tidur di situ. Sebagai suami yang masih punya perasaan, dia tidak akan membiarkan isterinya tidur di tempat yang tidak selesa itu.

“Liz nak ke mana tu? Kalau Liz tak sudi tidur sekatil dengan abang, biar abang tidur atas sofa tu. Takut Liz bangun pagi esok, sakit badan pulak.” Liza tidak menghiraukan kata-kata Zariz Fattah. Dia terus merebahkan badannya di sofa. Dia tidak kisah tidur di mana pun. Di atas lantai pun dia sudah biasa. Tiga bulan dia berada di rumah usang itu tanpa berlapik apa pun. Hanya kain batik dijadikan tempat pengalas tidurnya.

“Degil.” ucap Zariz Fattah geram. Setelah Liza tidur lena, dia mengangkat Liza dan menggantikan tempat Liza dengannya. Dulu dia tidak berperasaan, tapi selepas kejadian itu dia berubah menjadi manusia yang penuh dengan perasaan.
.....................................

Setelah dia yakin yang dia sudah dapat memenangi hati Nurin Natasya, dia merancang untuk pergi ke step yang seterusnya. Hanya enam bulan dia mengambil masa untuk merapatkan hubungan dengan anaknya. Dalam masa itu dia telah membuat test DNA untuk mengesahkan bahawa Nurin Natasya anaknya dengan Zariz Fattah hasil daripada rogol. Selepas makan malam dia meminta diri untuk masuk ke bilik. Ketika dia berada di sofa, Zariz Fattah baru masuk ke dalam bilik. Sejak kelmarin dia merancang untuk memberitahu perkara sebenar kerana dia merasakan itulah masa yang paling sesuai untuk membongkarkan segala rahsia yang terpendam bertahun-tahun. Api kemarahan untuk membalas dendam semakin memuncak. Haba dalam dadanya semakin mencapai darjah celcius yang paling tinggi.

“Aku nak ucap tahniah dan terima kasih,” ucap Liza sambil memandang tajam suaminya. Zariz Fattah yang baru keluar dari bilik air terkejut apabila perkataan tahniah dan terima kasih keluar dari bibir isterinya. Dengan kerutan di dahi, dia bertanya maksud di sebalik ucapan itu.

“Untuk apa?”

“Sebab kau sanggup menjaga Nurin. Aku tengok kau sayang Nurin macam kau sayang anak sendiri.” Sinis sahaja dia berkata begitu. Zariz Fattah tergelak kecil. Ingatkan untuk apa.

“Ohh... sayang tak perlu ucap tahniah ataupun terima kasih. Memang dah tanggungjawab abang untuk menjaga dia dan menyayangi dia sebab dia anak abang. Dari kecil dia tinggal bersama dengan keluarga abang. Walaupun dia cuma anak angkat, abang dah anggap dia macam anak abang sendiri. So, sayang tak perlu nak ucap terima kasih tapi abang yang perlu ucap terima kasih pada sayang.” Terang Zariz Fattah sambil mendekati liza. Seperti biasa liza mengelak darinya.

“Terima kasih?” Liza pula mengerutkan dahi sambil bangun dari sofa. Surat di tangannya di sorok ke belakang. Dia akan bertarik tali dulu dengan Zariz Fattah dan dia akan menyerahkan pada Zariz Fattah sekejap lagi. Zariz Fattah pula mengambil alih tempat di sofa.

“Iyelah... sebab dapat terima Tasya dalam hidup Liz. Abang tengok Liz pun menyayangi Tasya macam anak Liz sendiri. Abang suka sangat tengok Liz menyayangi Tasya. Dapatlah juga Tasya kasih sayang seorang ibu walaupun dia tidak tahu siapa ibu bapa kandungnya.” Zariz Fattah melepaskan keluhan gembira. Liza pula tersenyum sinis. Setelah mengambil sedikit kekuatan, dia bersedia untuk mendedahkan rahsia yang sekian lama tersimpan.

“Tak perlulah nak ucap terima kasih. Dah selayaknya aku menyayangi dia sebab... dia anak kandung aku.” Sebaik perkataan anak kandung mencecah gegendang telinganya, dia memandang Liza dengah wajah yang terkejut.

“Maksud Liz? Tasya anak kandung Liz?” Zariz Fattah kini juga sudah berdiri berhadapan dengan Liza. Memandang tajam mata Liza mengharapkan penjelasan daripada Liza. Apa maksud di sebalik kata-kata itu.

“Ya... Nurin Natasya tu anak aku. Kalau kau nak tahu itulah anak hasil kau merogol aku dulu. Pasti kau tak percaya kan? Tapi itulah hakikatnya.” Zariz Fattah mengeleng. Tidak! Dia tidak percaya yang Nurin Natasya tu anak dia. Darah daging dia. Tidak... Aku tak percaya.

“Abang tak percaya.” Liza tergelak. Gelakan dia menunjukkan dia sudah hampir berjaya tapi itu baru sikit. Selepas ini dia akan membuatkan Zariz Fattah menderita sebagaimana Zariz Fattah membuatnya menderita sepanjang hidupnya.

“Terserah pada kau nak percaya atau tidak. Ini buktinya.” Liza mengunjukkan hasil test DNA yang dipegangnya dan Zariz Fattah pantas menyambar surat itu.

“Kau bukak dan kau tengok hasilnya. Kalau kau tak percaya lagi, aku tak boleh buat apa-apa sebab itu memang hakikatnya.” Zariz Fattah pantas membuka surat itu dan dia terduduk. Dia tidak menyangka Tasya yang dia sayang selama ini, rupanya anak kandung dia. Anak hasil daripada dia merogol Liza tujuh tahun lalu. Patutlah anak itu memang ada irasnya dan juga iras Liza. Ternyata memang Tasya anak kandung dia. Ya Allah! Apakah ini balasanmu kerana aku telah merosakkan kesucian seorang gadis yang baik.

Liza kembali ke katil. Dia menarik nafas dalam dan menghembusnya. Perasaan lega terbit dari bibirnya. Akhirnya, dapat juga dia melepaskan rasa sakit hatinya. Dia memandang Zariz Fattah yang masih terduduk. Dia tidak menghiraukan apa perasaan Zariz Fattah setelah mengetahui hakikat sebenar siapa Nurin Natasya itu sebenarnya. Yang dia tahu dia telah berjaya membuatkan Zariz Fattah lebih rasa bersalah.

“Aku nak bercerai dengan kau dan aku akan bawa Nurin pergi daripada sini. Aku beri kau masa selama sebulan. Kalau kau masih belum membuat keputusan, aku tak teragak-agak untuk membuat laporan polis.” Zariz Fattah memandang Liza yang sudah keluar daripada bilik. Dia tidak menyangka Liza akan bertindak begitu. Dia sedar Liza sekarang tidak seperti Liza yang dia kenal dulu. Liza sekarang lebih suka berdendam. Penyebab Liza berdendam adalah dia. Dialah penyebabnya.

“Ya Allah, ampuni aku Ya Allah.” Air matanya menitik. Sekian kalinya air matanya tumpah menyembah bumi.
......................

Sebulan telah berlalu. Maka sahlah dia menjadi janda dalam usia muda setelah Zariz Fattah menjatuhkan talak satu pagi tadi dalam mahkamah. Tapi dia tidak kisah yang penting sekarang Nurin Natasya ada dalam genggamannya. Itu sudah membuatkan dia gembira. Title janda ditolak ke tepi. Yang penting sekali, dia sudah berjaya membalas dendam pada Zariz Fattah. Lelaki yang merosakkan hidupnya bertahun-tahun.

Sejak dua minggu Nurin Natasya berada di rumahnya, anak itu seolah jauh daripadanya. Bercakap dengan dia pun anak itu sudah tidak sudi apalagi bersembang seperti dulu. Nurin Natasya hanya menangis dan menangis saban malam. Dalam tidur pun anak itu sempat memanggil papanya. Hatinya sakit melihat keadaan itu tapi egonya yang kuat menghalang.

Teringat dia kejadian petang tadi. Nurin Natasya merayu-rayu padanya supaya membenarkan dia berjumpa dengan papanya.

“Mama, Tasya rindu papa. Tasya nak jumpa papa. Tasya rayu pada mama. Benarkan Tasya jumpa papa. Tasya nak jumpa papa...” Air mata Nurin Natasya menitis di atas seluarnya. Dia mengesat air mata itu.

“Tasya sayang. Dengar sini. Mama nak Tasya tahu. Mama sayangkan Tasya. Tasya anak mama. Mama yang melahirkan Tasya. Mama tak boleh beritahu Tasya kenapa mama jauhkan diri Tasya dari papa. Bila Tasya dah besar nanti barulah Tasya mengerti kenapa mama jauhkan Tasya dari papa. Mama nak jaga Tasya. Mama nak jaga Tasya. Mama nak tebus balik kesalahan mama meninggalkan Tasya. Mama harap Tasya faham.” Anak itu hanya mengeleng. Tidak mengerti apa yang diperkatakan Liza. Yang dia tahu dia rindu papa dia dan dia nak jumpa papa dia.

“Tasya pun sayang mama. Tasya pun sayang papa. Tapi Tasya nak jumpa papa. Tasya rindu papa...” Liza memeluk anaknya erat. Dia mengosok-gosok tubuh anaknya bagi meredakan tangisan anak itu.

Ketika berada di beranda, dia merenung langit malam yang dipenuhi dengan bintang. Dia memegang dadanya. Dia gembira kerana telah berjaya membalas dendam tapi dalam masa yang sama hatinya sakit. Sakit sangat sehingga mencucuk-cucuk dadanya. Lebih-lebih lagi apabila melihat Nurin Natasya semakin jauh daripadanya. Dia sedih dengan keadaan itu.

“Papa... jangan tinggalkan Tasya. Tasya rindu papa...” Liza berpaling ke arah anaknya yang tidur tapi mulutnya berkata-kata. Dia mendapatkan anaknya. Dia mengucup dahi anak itu.

“Maafkan mama sayang...” Seiring dengan katanya, air matanya menitis.

“Ya Allah ampunilah dosaku kerana aku cuba memisahkan anakku daripada papanya. Maafkan aku Ya Allah.”

Liza kembali ke beranda. Sekali lagi dia merenung langit malam. Mungkinkah Nurin Natasya akan bahagia bersama dengan papanya. Ikatan yang kuat antara anak dengan ayah. Apakah dia tega untuk memisahkan anak itu setelah bertahun-tahun dia tinggal dengan keluarga itu. Dia telah berjaya membalas dendam tapi apa yang dia dapat hanyalah kesakitan.

Dia mencapai telefonnya di meja solek dan mendail nombor Zariz Fattah.

“Petang esok aku nak jumpa kau. Kat mana nanti aku beritahu.” Selepas bercakap seketika terus dia mematikan talian. Sekali lagi dia memandang anaknya yang lena tidur.

Sebagaimana yang dijanjikan, dia bertemu Zariz Fattah di sebuah taman permainan yang tidak berapa jauh daripada rumah Zariz Fattah. Sebaik mereka berdua sampai, Zariz Fattah sudah berada di situ. Sebaik Nurin Natasya melihat papanya, pantas dia mendapatkan papanya. Kedua-dua beranak itu berpelukan dan bertalu-talu Zariz Fattah mencium anaknya. Liza yang memandang sebak hatinya. Tapi seboleh mungkin dia cuba berlagak tenang di hadapan Zariz Fattah.

“Awak berhak menjaga Nurin. Mulai hari ini saya serahkan semula Nurin pada awak. Jagalah Nurin dengan sebaiknya sebagaimana awak menjaga dia saat saya tinggalkan dia dulu. Terima kasih kerana sudi membesarkan dia dan menyayangi dia setelah saya tinggalkan dia pada awak.” Sebaik mengucapkan perkataan itu, dia berpaling hendak meninggalkan dua beranak itu. Sudah selesai tugasnya dan dia perlu segera beredar dari situ sebelum hatinya mula berubah.

Tapak kaki Liza berhenti sebaik mendengar ucapan terima kasih tapi dia tidak berpaling. Air matanya sudah menitis saat itu.

“Terima kasih atas segala-galanya.” Dia hanya mengangguk bersama deraian air mata. Kakinya melangkah dan terus melangkah meninggalkan dua manusia itu tanpa sekalipun menoleh ke belakang.

Sejak memisahkan Nurin Natasya daripada Zariz Fattah, barulah dia sedar kebahagiaan seorang anak terletak pada siapa yang menjaganya. Kebahagian Nurin Natasya hanyalah pada Zariz Fattah. Kebahagiaannya pula adalah membenarkan anaknya terus bersama-sama dengan papanya. Itulah makna kebahagiaan hidup baginya. Dan dendam yang dulu jelas membara di matanya kini perlahan-lahan beransur hilang. Demi orang yang dia sayang, dia harus melupakan dendam walau ia menyakitkan.

“Papa... Nanti kita pergi shopping yer papa...” Ujar Nurin Natasya masih dalam dukungan papanya.
Zariz Fattah hanya menjawab, “Iye sayang!!!”

“Hoorey!!!” Dia bersorak gembira sambil bertepuk tangan.

Nurin Natasya mencium pipi papanya dan Zariz Fattah turut mengucup mesra pipi gebu itu. Mereka berdua berjalan-jalan dan terus berjalan meninggalkan taman permainan itu. Langit sekejap tadi cerah kini mula bertukar warna kemerah-merahan.


~ TAMAT~