Datanglah Semangat

13 September 2013

Kerana Dendam Semalam

SEBAIK sampai di rumah terus dia menolak kasar tubuh halus adiknya sehingga gadis itu terduduk di sofa. Menyeringai adiknya kesakitan akibat ditolak begitu. Ini kali ketiga abangnya menyeringai marah seperti singa yang ingin membaham mangsanya. Dia tahu kenapa abangnya berbuat begitu. Tapi kenapa harus dia dan kekasihnya yang perlu membayar segala dendam yang terhimpun di dada abangnya itu. Air mata yang dari tadi telah sedia mengalir di pipi kini air mata itu kembali laju mengalir. Tadi perit tangannya di rentap kasar oleh Naim. Kini masih terasa sakitnya.

"Dah banyak kali aku kata jangan jumpa budak tu lagi. Kenapa kau degil hah?" Marah Naim. Kaisara semakin terenjut-enjut menangis bila ditengking sebegitu. 
Sebaik terlihat kelibat Kaisara bersama dengan Fauzan di SACC Mall tengah hari tadi, kemarahannya semakin memuncak. Sudah berkali-kali dia memberi amaran pada Kaisara supaya tidak berjumpa dengan budak lelaki itu lagi tetapi adiknya tetap berdegil. Tetap juga gadis itu mengingkari arahannya. Dia memang pantang kalau melihat adiknya keluar dengan adik Salina.
Sekali perasaan benci hadir perasaan itu akan tetap berdiri teguh dalam hatinya. Tak kan sekali-kali dia akan memaafkan orang yang telah mengecewakannya. Dia sebenarnya sayangkan Kaisara, dia tidak mahu adiknya menerima nasib yang sama sepertinya. Sebab itu, pantang aje terlihat adiknya bersama dengan lelaki itu terus dia menyeringai bagai singa tak cukup makan.
"Along, apa yang bising - bising ni. Sampai dapur ibu dengar. Apa yang adik buat sampai kamu marah dia macam ni?" Soal Puan Rohana sebaik aje dia menapak di ruang tamu apabila mendengar suara lantang anak sulongnya memarahi seseorang. Puan Rohana memeluk anak keduanya lalu menggosok belakang Kaisara yang dari tadi menangis.
Naim yang tadi menyeringai kini kembali tenang lalu duduk di sofa. Satu keluhan panjang dilepaskan. Setelah anaknya kembali tenang dia bertanya kembali. Tiba-tiba anaknya marah ingin juga dia tahu kenapa. Puan Rohana memandang ke arah Naim yang sedang memejamkan mata mencari ketenangan barangkali.
"Beritahu ibu apa yang kamu marah sangat ni?"
"Along tak suka Kaisara rapat dengan keluarga Salina terutama sekali dengan budak Fauzan tu. Along tak nak Kaisara jadi macam along. Ditinggalkan macam tu tanpa beritahu sebabnya. Ibu tau kan kenapa"
"Tak kan Along masih tak dapat lupakan lagi kisah tu. Dah tiga tahun peristiwa itu berlaku. Benda dah lepas biarkan lepas tak payah nak difikirkan lagi, Along" Memang dia tahu kisah itu dan dia juga rasa sedih di atas keputusan pihak perempuan untuk memutuskan pertunangan anak mereka. Tapi mahu buat macam mana lagi kejadian itu telah terjadi. Biarlah orang itu yang bertanggungjawab.
Selepas dari pertunangan itu sehingga kini Naim tidak pernah mengetahui kerana dia telah berjanji. Lagipula dia tidak suka menjatuhkan maruah orang. Biarlah dia dan keluarga Salina aje yang tahu. Ini untuk menjaga aib keluarga Salina. 
Dia teringat waktu itu tahun keempat Naim berada di Melbourne mengambil kursus kejuruteraan. Ketika pertunangan diputuskan Naim menjalani peperiksaan akhir tahun. Dia mengambil keputusan untuk tidak memberitahu Naim sehinggalah Naim tamat pelajaran dan pulang ke tanah air. Bukan dia sengaja tidak ingin memberitahu tetapi dia tidak mahu tumpuan anak sulungnya pada pelajaran terjejas.
"Sampai bila pun Along tak kan lupakan apa yang telah diorang buat kat Along. Sampai bila pun Along tak kan maafkan mereka" Dengan tegas dia berkata. Seusai berkata, dia bangun. Seketika kereta menderum pergi. Entah ke mana anaknya pergi. 
"Ibu, kenapa Kaisara yang perlu menjadi mangsanya. Along tak patut buat Kaisara macam ni. Sampai bila dendam Along akan habis. Fauzan tu budak baik ibu. Dia sukakan Kaisara dan Kaisara juga sukakan dia ibu"
"Ya.. ibu tau. Tapi Angah kena faham keadaan Along. Along masih marah lagi tu. Lama-lama nanti kuranglah marahnya. Angah kena sabar.. yea." Kaisara menggangguk tanda dia mengerti. 
Dia tahu alongnya masih tak dapat melupakan kisah lalu. Pagi tadi, dia berani keluar dengan Fauzan sebab pagi tadi Alongnya masih di JB. Semalam alongnya memberitahu yang dia akan pulang dua hari lagi entah macam mana tiba-tiba hari ini pulang dan kebetulan ternampak pulak mereka apalagi mengamukla orang tua tu.
Opss!orang tua. Biasala kalau aku dah marah panggilan yang tak elok aku keluarkan. Aku ni sebenarnya takut dengan along kalau tak takkan la aku keluar senyap-senyap, kan. Along along, kenapalah orang tua ni payah sangat nak lupakan. Padahal dah tiga tahun pun. Pandaila aku cakap kan. Kalaulah peristiwa itu terjadi pada aku, aku rasa jadi macam tu jugak kot. Mintak-mintak dijauhkanlah yea. Aku tau Fauzan sayangkan aku dan cintakan aku kalau tak masakan Fauzan beria-ria nak ber'couple' ngan aku walaupun aku dah beribu kali menjual mahal. 
*****************
Dia memandu laju wira aerobaeknya tanpa haluan. Tanpa menghiraukan keselamatannya dan orang-orang disekelilingnya. Yang dia tahu, sekarang darahnya tengah panas. Panas menyaksikan kemesraan adiknya dengan Fauzan adik Salina. Dia tidak dapat menerima hakikat kini adiknya pula bersama dengan adik Salina. Gadis yang dicintai sepenuh hati. 
Entah kenapa sukar untuknya melupakan peristiwa itu sedangkan sudah tiga tahun berlalu. Mungkin kerana dia terlalu sayangkan Salina ataupun memikirkan yang dirinya ditipu hidup-hidup. Sejak dari peristiwa itulah dia menyimpan dendam walaupun dia tahu berdendam tidak dapat menyelesaikan masalah. Oleh kerana, hatinya terlalu sakit sebab itu sehingga kini dia masih tidak dapat menerima hakikat bahawa dirinya dengan Salina tiada jodoh.
Dia mencintai Salina semenjak di sekolah menengah lagi. Mereka bertunang sebelum dia berangkat ke Melborne untuk menyambung pelajarannya. Selepas 4 tahun belajar di sana dia kembali. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaannya waktu itu.
Dia sudah tidak sabar hendak pulang ke kampung untuk menjenguk ibu dan adik-adiknya serta yang paling disayangi iaitu tunangannya. Dia memang sengaja tidak memberitahu tentang kepulangannya. Nak surprise la katakan. 
Sebelum sampai ke rumah dia perlu melalui rumah Salina terlebih dahulu. Tertanya-tanya juga kenapa rumah Salina ramai tetamu siap dipasang dengan khemah seolah-olah adanya majlis perkahwinan. Dia menyuruh pemandu teksi berhenti betul-betul di hadapan rumah si pengantin.
Setahu dia adik Salina yang perempuan baru berumur 10 tahun. Kalau lelaki seingatnya 18 tahun dua tahun lebih tua dari adiknya yang kedua.
"Takkanlah Salina kot.. tak mungkinlah diakan masih tunang aku" Tertanya-tanya dia sendirian. Dia cuba bertanya seorang budak lelaki yang kebetulan hendak pergi ke rumah Salina.
"Dik, siapa pengantin perempuannya?"
"Tak silap saya, Kak Salina...bang. Kak Salina bernikah dengan Abang Azran anak tuk penghulu kampung" kata budak lelaki itu. Terkejut dia bukan kepalang. Tak mungkin Salina berkahwin dengan kawan baiknya sendiri sedangkan Salina masih tunangannya.
Sebaik sahaja sampai ke rumah terus aje dia mengamuk. Sejak itu dia menanamkan kebencian pada seluruh keluarga Salina. Pada malam tu, ibunya memberitahu bahawa sudah tiga bulan keluarga Salina memutuskan pertunangan. Dia benar-benar terasa dipermainkan. Orang yang selama ini dia percayai dan yang menjadi kawan baiknya sanggup menikam daripada belakang. Sanggup merampas Salina daripadanya sedangkan Azran tahu dia bermati-matian mencintai Salina. 
''Tega kau buat aku begini Azran Salina aku benci kauorang. Sampai bila-bila pun aku tak kan maafkan kamu semua'' bentaknya sambil menghempaskan tangannya ke stereng.
Dua tahun dia melarikan diri ke Johor. Baru tahun ini dia kembali ke Kuala Lumpur setelah ditukar ke cawangan lain kerana dinaikkan pangkat. Kalau ikutkan hati memang dia tidak mahu kembali tetapi oleh kerana dia ada emak dan dua orang adiknya menyebabkan dia terpaksa kembali. Ibarat pepatah 'walau kita lari sejauhmana pun kita tetap akan kembali pada tempat asal kita'.
******************
"Kak Long... tadi Fauzan terserempak dengan Abang Naim" Beritahunya sebaik sahaja dia sampai di rumah kak longnya. Dia memandang sekilas kak longnya yang sedang menyiapkan makan malam. Tiada riak terkejut dari kak longnya. 
Sebenarnya dia terkejut tapi dia tidak mahu menunjukkan rasa terkejutnya pada adiknya. Setiapkali dia mendengar nama Naim hatinya mesti bergetar kuat. Sehingga kini sebaris nama itu masih tetap kukuh dalam sanubarinya walaupun dia bukan lagi hak milik lelaki itu.
"Fauzan jumpa abang Naim kat mana?" Akhirnya dia bertanya tapi tangannya tetap mengacau gulai ikan masak tempoyak atas dapur. Fauzan tersenyum. Rupanya kak longnya masih lagi ingin mengetahui perihal bakal abang iparnya yang tak jadi tu.
"Kat SACC Mall. Tadi dia mengamuk sebab abang Naim ternampak Fauzan berdating dengan Kaisara. Kak long taukan abang Naim tak suka Fauzan rapat dengan adik dia. Fauzan rasa abang Naim masih berdendam dengan keluarga kita la kak..." Betul ke apa yang diberitahu Fauzan?
Sudah tiga tahun kisah tu berlalu takkan bekas tunangannya masih tak dapat memaafkan keluarganya. Dia tahu dia yang bersalah kerana memutuskan pertunangan itu. Tapi dia ada sebabnya yang tersendiri. Dia tak mahu meneruskan lagi hubungan itu walaupun dia terlalu sayangkan lelaki itu kerana lelaki itulah cinta pertamanya. Tapi dia terpaksa membatalkannya.
"Tak baikla Fauzan cakap macam tu. Mungkin dia belum dapat menerima lagi hubungan Fauzan dengan Kaisara. Nanti nanti.. oklah tu. Buat masa ni Fauzan jangan jumpa Kaisara dulu. Biar keadaan reda dulu"
Salina menepuk lembut bahu adiknya sambil mengangkat punggung sebelum mengacau lauk di dapur. Fauzan hanya mengangguk tanda faham. Dia tidak sanggup melihat Kaisara seperti kejadian pagi tadi. Sebab dia, Kaisara yang kena.
"Dah lama Zan sampai?" Tanya Azran lalu duduk di depan Fauzan. Lantas Fauzan bangun dan menyalami abang iparnya.
"Tak adalah. Baru jer sampai.. mak kirim salam"
“Waalaikumussalam” jawab Azran perlahan. Azran mengeluh sambil melonggarkan tali lehernya. Tersangat letih hari ini. Apa tidaknya sebagai pengurus kewangan banyak yang perlu dibuat lebih-lebih lagi hujung-hujung bulan. Time nilah gaji setiap pekerja perlu di bayar. Akaun juga perlu dikemaskini.
"Minum bang... Fauzan" Setelah meletakkan dulang di atas meja dia duduk di sebelah suaminya dengan berhati-hati. Sekarang dia sudah hamil 8 bulan 20 hari. Tak lama lagi dia akan menerima ahli keluarga baru. 
Azran tersenyum memandang isterinya lalu tangannya lantas menggosok lembut perut isterinya. Fauzan yang memerhati hanya terseyum melihat kemesraan kakak dan abang iparnya. Dia berharap kebahagian orang yang berada di depannya ini akan kekal selama-lamanya.
"Dah lewat nih... Tak apalah bang akak. Fauzan balik dululah..." Selepas meminta diri dia menyalami kakak dan abang iparnya.
"Ingat apa yang akak cakap tadi... Kirim salam pada mak ayah" Fauzan mengangguk mengingati nasihat Salina tadi.
"Assalamualaikum..."
"Waalaikussalam..." Jawab suami isteri itu serentak.
************************
"Terima kasih Sal sebab terima abang dalam hidup Sal walaupun Sal tak pernah menyimpan apa-apa perasaan pada abang" Azran merapati Salina yang sedang menyikat rambutnya lalu memeluk Salina dari belakang sambil meletak dagunya atas kepala isterinya. Kemudian dia mencium ubun-ubun isterinya. Serentak itu juga Salina memberhentikan tingkahnya. Salina membalikkan tubuhnya lalu menghadap suaminya. Dia memandang tepat ke mata suaminya. Dia dapat melihat sinar mata suaminya yang redup.
"Abang... "Mata Salina sedikit berkaca.
"Abang tahu cinta tak boleh dipaksa. Tapi abang bersyukur Sal masih dapat menerima abang walaupun abang banyak bersalah pada Sal dan Naim. Abang tak sepatutnya merampas Salina daripada Naim" Dia betul-betul menyesal sebab merampas Salina daripada kawan baiknya sendiri. Dia tahu Naim pasti kecewa dan sangat kecewa.
"Abang.." panggilnya lembut. Dia bangun dan berdiri di depan suaminya lalu memegang kedua belah pipi Azran. 
"Walau abang bersalah sekalipun sudah lama Sal maafkan abang. Sal sedar Sal dengan Naim memang tiada jodoh. Sebab itu Allah takdirkan kita berdua. Kerana DIA tahu siapa yang terbaik untuk Sal. Mungkin peristiwa yang terjadi antara kita dulu ada hikmahnya. Pasal perasaan Sal abang jangan risau abang tetap yang pertama di hati Sal sebab abang adalah suami Sal dan bakal menjadi papa pada anak kita. Kalau Sal tidak ada apa-apa perasaan pada abang tak mungkin Sal berkeadaan macam ni.. kan" Dia mengambil tangan suaminya lalu meletakkan ke atas perutnya yang memboyot itu. 
Azran terharu mendengar bicara si isteri sehingga matanya berkaca. Lantas dia memeluk tubuh isterinya erat. Salina juga membalasnya erat.
'Maafkan Sal abang kerana Sal tidak mampu untuk menghilangkan Naim daripada hati Sal. Ampunkan aku Ya Allah kerna tidak bisa menghilangkan rasa cinta aku pada lelaki yang pernah bertakhta di hati ini' Doanya sambil menyembunyikan rasa kesedihan yang tiba-tiba menyelubungi.
"Terima Kasih Sal. Abang janji pada Sal abang akan jaga Sal dan anak kita ini baik-baik. Abang janji" Ucapnya lalu mencium pipi Salina bertalu-talu. Salina tersenyum gembira melihat kesungguhan suaminya untuk membahagiakan dirinya. Sesungguhnya dia bahagia kini.

********************
Naim membawa ibunya pergi ke pasaraya giant untuk membeli barang keperluan dapur. Hari ini hari minggu jadi ramai pelanggan datang ke sini membeli belah. Hanya hari sabtu dan hari ahad cuti minggu mereka. Jadi mereka mengambil kesempatan ini untuk membeli-belah. 
Sementara menunggu ibunya membeli, dia meninjau-ninjau di bahagian pakaian. Dalam meninjau-ninjau dia ternampak kelibat satu pasangan yang amat di kenalinya sedang membelek-belek pakaian bayi. Dia hanya mampu memandang pasangan itu dari jauh sahaja. Bukan tidak mahu bertegur sapa tapi bila melihat kemesraan dan kebahagiaan pasangan itu dia jadi bertambah benci lebih- lebih lagi bila mengingatkan peristiwa lama.
Semakin lama menyaksikan kebahagian pasangan itu semakin bertambah kebenciannya lantas dia mengangkat kaki dan berlalu dari situ dan terus sahaja membatalkan niatnya untuk meninjau-ninjau. Sebaik ternampak ibunya yang sedang membayar harga barang terus dia menuju ke arah ibunya. 
"Assalamualaikum mak cik... Naim" Sapa Azran sebaik bertembung dengan Mak Idah dan Naim yang sedang meletakkan barang dalam bonet kereta.
"Waalaikumussalam... ooo.. Salina Azran... Datang membeli jugak yea!!" Azran dan Salina menyalami tangan Mak Idah. 
Azran menghulurkan tangan tapi Naim lambat-lambat menyambut. Tak sangka dia akan bersua muka dengan perampas tunangnya di sini. Ingin sahaja menumbuk lelaki itu. Tetapi teringat dia berada di tempat awam dibatalkan sahaja niatnya itu. Juga memandangkan ibunya dan Salina ada di sini. Ibu Naim dan Salina memandang mereka berdua. Nampak ketegangan di wajah Naim.
"A'ah mak cik... beli barang dapur sikit" Ujar Salina sambil tersenyum. Dia pandang wajah Naim. Wajah lelaki itu tidak banyak berubah. Yang bezanya tubuh lelaki itu semakin kurus dan berkumis nipis. Rindunya dia pada wajah itu. Ini kali pertama setelah lima tahun mereka tidak bersua muka. Dia tahu Naim kecewa dan marah dengan dirinya. Dia dapat merasakan itu. Sebab terjelas di ruang mata lelaki itu. Pandangan yang Naim lemparkan mengandungi seribu kekecewaan dan kebencian.
Salina berbual- bual dengan Mak Idah. Mereka berada jauh sedikit daripada Azran dan Naim. Memberi peluang pada kedua-dua lelaki itu berbicara dari hati ke hati lelaki mereka. Naim dan Azran pula masih berdiam seribu bahasa. Tidak tahu memulakan. Ada ruang kosong antara mereka. Naim memeluk tubuh sambil menyandar di keretanya. Azran pula tangannya menyeluk kocek. Seketika keluhan dilepaskan Azran. Dia mahu mengisi ruang yang kosong itu. Tidak mahu ia terus kosong tanpa isi di dalamnya.
"Kau... apa khabar?" Azran memulakan bicaranya. Matanya ditalakan pada wajah Naim. Wajah Naim tetap macam tadi. Wajah tanpa riak.
"Baik" Ucap Naim sepatah. Naim masih menyandar dan memeluk tubuh.
"Aku..." Sekali lagi keluhan dilepaskan Azran. Sukar untuknya menyambung bicara bila melihat wajah tegang itu. Nampak sangat Naim masih tidak dapat melupakan kisah lama.
"Auch..." Tiba-tiba Salina mengaduh sakit. Dia memegang perut yang terasa senak. Hendak bersalin agaknya. Tapi masih ada tujuh hari lagi kalau mengikut jangkaannya. Mungkin baby dah tak sabar hendak melihat dunia. Melihat ibu bapanya dengan seorang lelaki yang masih belum dapat melupakan kisah-kisah dulu. Masih menyimpan rasa. 
Kedua- dua wajah tadi serentak berpaling pada Salina. Naim sudah berubah riak. Wajah yang tegang sudah dikendurkan bila melihat Salina menyeringai kesakitan. 
Azran sudah mendapatkan isterinya. Dia memegang tubuh Salina. Nasib baik Mak Idah ada di situ. Sempat memegang Salina yang hendak rebah. Ketiga-tiga mereka berwajah cemas. Mak Idah kalut bersuara.
"Azran, kita hantar Salina dengan kereta Naim ajelah yea. Takut Salina dah tak dapat bertahan" Azran hanya mengangguk. Lagipun keretanya di belakang sana. Jauh daripada kereta Naim. Salina pula wajahnya sudah berkerut menahan sakit.
"Naim... kita hantar Salina dengan kereta kamu yea" Tanpa mendapat jawapan Naim Mak Idah sudah membuka pintu kereta belakang. Menyuruh Salina dan Azran masuk. Melihatkan Naim yang masih tercegat di situ Mak Idah sekali lagi bersuara.
"Naim... Cepatlah. Salina dah nak bersalin tu"
*********************
Azran mudar mandir di ruangan menunggu wad bersalin. Wajahnya resah gelisah sekali. Dalam hati dia berdoa moga-moga Salina dan anaknya tidak apa-apa. Mak Idah dan Naim juga sama tapi taklah segelisah Azran. Naim pula tubuhnya disandarkan di dinding sambil memeluk tubuh. Di pandang wajah Azran yang tidak duduk diam. Sekali duduk sekali bangun. Dia dapat merasakan Azran memang menyayangi Salina. Nampak dari wajah itu. Kalau tidak pastilah Azran tak resah gelisah macam tu. Walaupun hatinya masih ada perasaan benci kerana melihat kesakitan Salina dan kerisauan Azran dia mengenepikan rasa itu. 
"Ran, kau sabarlah. InsyaAllah Salina dengan baby kau selamat" Tersentak Azran mendengar nasihat Naim. Dia ingatkan Naim akan terus berdiam. Azran mengukir senyum nipis sambil mengangguk. Dia duduk di bangku sambil berdoa. Seketika terdengar suara bayi menggegarkan dunia. Azran mengucap syukur. Senyumannya semakin mekar.
"Alala. Comelnya baby..." Kata Mak Idah teruja melihat anak lelaki Salina merengek kecil dalam gendongannya. Bilalah dia akan dapat cucu. Harapkan Naim tak taulah bila. Azran dan Salina saling tersenyum.
"Naim, thanks tolong kami. Mak Idah pun sama. Terima kasih banyak-banyak" Ucap Azran ikhlas. 
Naim hanya mengangguk. Walaupun tiada senyuman, Azran lega kerana Naim sudah tidak menunjukkan wajah tegang seperti tengah hari tadi. 
"Tak pa... Azran Salina, kitakan sekampung memang patutla kita saling tolong. Kalau masing-masing saling tak peduli tak da maknalah hidup kita, ye tak?" Mak Idah menyampuk. Salina dengan Azran sama-sama mengangguk setuju dengan kata-kata Mak Idah sambil senyuman terukir di bibir mereka.
******************
Sebaik Mak Idah dan Naim sampai ke rumah, ada sebuah kereta Viva putih berada di halaman rumah mereka. Mak Idah tertanya-tanya siapa yang datang ke rumah mereka. Mereka keluar dari kereta dan mengeluarkan semua barang dari bonet kereta.
Sebaik masuk ke dalam rumah, seorang gadis sedang berada di ruang tamu bersama Kaisara. Naim sedikit terkejut dengan gadis itu. Macam pernah dia kenal. 
"Naim..." panggil gadis itu lembut sambil memandang Naim.
Naim duduk di atas sofa. Sudah lama dia tidak mendengar suara itu dan wajah itu sejak dia menolak cinta gadis itu enam tahun yang lalu. Mana mungkin dia menerima cinta gadis itu sedangkan cintanya hanya untuk Salina.
"Awak apa khabar?" Soal gadis itu. Naim hanya mengangguk. Wajah Naim tetap macam dulu. Masih kacak. Cuma yang bezanya kumis nipis meliputi bawah dagunya.
"Saya datang sini nak beritahu awak sesuatu. Boleh kita bercakap di luar?" ujar gadis itu lambat-lambat. 
"Penting ke sampai perlu bercakap di luar?" Soal Naim sambil memandang gadis itu. Gadis itu sudah berubah. Sudah pandai bertudung dan memakai baju yang sopan.
"Apa yang awak nak beritahu saya?" Soal Naim ingin tahu apa yang gadis itu ingin beritahunya sewaktu mereka berada di rumahnya tadi. Semilir angin bertiup-tiup. Suasana pantai yang tenang dapat menenangkan hati yang kegelisahan tapi tidak bagi gadis itu.
"Mula-mula sekali saya nak minta maaf dengan awak" Suara gadis itu bergetar mengucap kata maaf sambil menunduk kepala. Dia tidak mampu memandang wajah Naim yang keruh. Bila dia melihat wajah Naim, perasaan bersalah semakin kuat mencengkam.
Naim tertanya-tanya apa salah gadis itu sehingga gadis itu meminta maaf darinya. 
"Kenapa pula awak nak minta maaf, Za. Awak tak pernah buat salah pada saya. Tapi, saya yang perlu minta maaf pada awak sebab saya menolak cinta awak dulu” ujarnya ikhlas sambil memandang gadis itu yang menunduk.
Dia dapat merasakan kata-kata Naim itu amat ikhlas. Tapi, bolehkah Naim dapat memaafkannya setelah apa yang dilakukannya?
“Tak. Saya memang bersalah pada awak dan saya betul-betul nak minta maaf pada awak.....” Aliza jatuh terduduk di atas pasir sambil teresak-esak. Naim terpinga-pinga dengan kelakuan teman sekolahnya itu. Apakah yang telah gadis itu lakukan sehingga menangis sebegitu?
“Bangun Aliza...” pinta Naim tapi Aliza mengeleng. Naim memandang sekeliling kalau ada mata yang memandang mereka. Takut ada yang tersalah sangka pula.
“Saya tak akan bangun selagi saya tidak ceritakan segalanya dan sebelum awak maafkan saya” ucap Aliza sungguh-sungguh. Naim terpaksa duduk di sebelah gadis itu bila gadis itu masih tidak mahu bangun.
“Beritahulah apa yang awak nak beritahu saya. Saya dengar” Naim menumpu pada laut yang bergelora.
“Ini ada sebab dengan pertunangan awak dengan Salina” Tumpuannya dikalih pada gadis itu bila membangkitkan soal pertunangannya dulu. Naim memandang Aliza dengan penuh tanda tanya.
“Saya yang rancang semuanya dan saya yang bertanggungjawab di atas pembatalan pertunangan awak dengan Salina...” Aliza meneruskan ceritanya dari mula sampai ke akhirnya. Naim yang mendengar setiap patah bicara gadis itu terkejut. Dada Naim berombak menahan marah. Aliza yang bercerita sesekali mengesat air matanya yang merembes. Benar- benar merasa bersalah di atas kesalahannya yang sengaja dilakukan.
Naim bangun dan menguis kasar pasir sambil menjerit kuat. Aliza pula tidak mampu menghentikan tangisannya. Sebagaimana yang dijangkanya, Naim benar-benar marah dengan apa yang dilakukannya tiga tahun lalu.
“Kenapa kau buat macam tu? Kenapa kau hendak menghancurkan hubungan kami? Kenapa Aliza???” Naim tidak mampu menyembunyikan rasa marahnya. Ingin sahaja menampar gadis itu tapi dia bukanlah lelaki yang suka menyakiti seorang perempuan.
Air mata lelaki Naim sedikit demi sedikit mengalir di kelopak matanya.
“Saya minta maaf Naim. Saya cintakan awak dan saya tak boleh kehilangan awak sebab tu saya buat macam tu. Saya benar-benar cintakan awak...” Tangisannya meleret.
“Awak tahukan yang saya hanya cintakan Salina. Awak tak boleh paksa saya untuk jatuh cinta pada awak. Kerana rancangan awaklah pertunangan kami putus. Kerana awak juga saya membenci seluruh ahli keluarga Salina. Saya berdendam pada keluarga yang tak bersalah itu. Awak tau tak???” Kuat suara Naim memarahi gadis yang berpakaian serba putih itu. Alasan yang diciptakan gadis itu tidak dapat diterima oleh akalnya.
Aliza cuba mengawal keadaannya yang sedikit berlainan dari kebiasaannya.
“Saya... benar-benar rasa bersalah. Sebab itulah, ha..ri ini saya meluahkan segala-galanya. Saya tidak mahu te..rus menyimpan rasa bersalah ini. Saya dah tak mampu untuk menanggung lagi kerana hidup.. saya sudah pun berakhir.... mungkin inilah yang dikatakan hukum karma” Aliza cuba berkias tentang penyakit yang ditanggungnya. Bukan hendak meminta simpati tapi dia sudah tidak mampu menanggung lagi.
Naim dapat menangkap baris ayat yang kedua akhir. Dia merenung wajah gadis itu dalam-dalam. Baru kini dia perasan wajah Aliza yang berkerut seolah cuba menahan sakit yang amat teruk. Mukanya pucat. Tiada lagi perasaan marah. Yang hadir sekarang ini adalah perasaan ingin tahu kenapa wajahnya begitu.
“Wajah awak tiba-tiba pucat. Kenapa dengan awak ni?” Lembut Naim bertanya seiring dengan rasa bimbangnya. Naim mendekati gadis itu yang sedang memegang kepalanya.
“Doa saya telah dimakbulkan Allah. Hari ini saya dapat memberitahu awak segala-galanya sebelum nyawa saya ditarik oleh-NYA. Satu sahaja yang saya minta pada awak sekarang maafkanlah saya di atas semua kesilapan saya” Nafas Aliza semakin tersekat-sekat. Mungkin inilah masanya. Naim memegang tubuh Aliza yang tidak bermaya. Aliza sangat berharap Naim dapat memaafkan dosanya sebelum matanya tertutup untuk selamanya. Aliza merenung wajah Naim dengan pandangan yang penuh mengharap.
“Awak... maafkan... saya ta...?” Serentak itu tubuhnya kaku di pangkuan Naim. Naim menampar pipi pucat itu berkali-kali. Cuba menyedarkan gadis itu. Kalau-kalau gadis itu hanya pengsan. Tapi, gadis itu sudah tidak bernafas lagi. Naim meraung sekuat hati memanggil nama Aliza.
******************
Seminggu selepas kematian Aliza, Naim pergi menemui Azran dan Salina. Dia meminta maaf pada dua manusia itu. Azran dan Salina juga meminta maaf terutama sekali Azran kerana dia merampas Salina dari Naim. Naim juga sudah tidak melarang perhubungan adiknya Kaisara dan Fauzan. Kini, Naim sudah mampu menarik nafas lega kerana dendamnya sudah hilang dari hatinya. Memang benarlah hati yang penuh perasaan dendam tidak akan tenang.

Setelah Aliza didapati sudah tidak bernafas, Naim membawanya ke hospital dan ketika itulah doktor memberitahunya Aliza sebenarnya menghadapi penyakit kanser otak tahap kritikal. Semasa Aliza pergi berjumpanya Aliza telah meminta pada doktor yang merawat Aliza supaya membenarkan gadis itu berjumpa dengannya untuk kali yang terakhir kerana Aliza dapat merasakan bahawa hari itu adalah hari terakhirnya. 

“Saya telah memaafkan segala kesalahan awak sama ada sengaja ataupun tidak sengaja. Mengenai rancangan awak memerangkap Azran dan Salina sehingga mereka ditangkap basah dahulu sudah beransur-ansur saya lupakan walaupun ia pahit untuk ditelan. Saya akan cuba untuk meredhainya"

“Semoga awak dapat bersemadi dengan aman” Naim memandang ombak yang menghempas pantai buat kali terakhir. Kemudian, dia menarik nafas dan menghembusnya perlahan sebelum masuk semula ke dalam perut kereta dan meluncur laju meninggalkan tempat pertama dan terakhirnya bersama wanita yang pernah menyintainya suatu waktu dulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan