Datanglah Semangat

17 Jun 2013

Korban Cinta Hadim

Di bawah pohonan rhu sepasang pasangan saling membisu. Angin petang yang membias tidak dihiraukan. Masing-masing mendiamkan diri. Suasana sepi menyelubungi mereka kecuali ombak yang berderu-deru memukul pantai. Syafiqa menguis-nguis pasir dengan kakinya sambil merenung jauh ke dada langit. Waktu siang sudah hendak melabuh tirainya. Rasanya dalam setengah jam lagi.

Hadim pula masih memeluk tubuh. Sejak mereka datang mereka masih belum mengeluarkan satu patah perkataan pun. Masing-masing menunggu siapa yang harus memulakan bicara. Sudah penat menunggu Hadim memulakan kata, Syafiqa mula bersuara. Cuba mengalah. Kalau mereka masih begitu alamatnya sampai ke esok belum tentu mereka akan bersuara. Biarlah dia memulakan dulu walaupun hatinya amat sakit dengan ayat penyata yang keluar dari mulut Hadim seminggu yang lalu.

"Awak tetap jugak nak memutuskan pertunangan kita?" Serentak soalan itu meluncur dari bibir kecilnya dia berpaling pada Hadim yang masih memeluk tubuh.


Terdengar keluhan dari bibir kemerahan itu. Salah satu perkara yang dia suka pada Hadim, Hadim tak suka merokok. Tak pernah sekalipun dia melihat Hadim merokok bila mereka keluar bersama. 


Hadim berpaling pada Syafiqa. Dia memandang Syafiqa yang berwajah sayu. Tiada lagi wajah manis yang selalu Syafiqa tunjukkan setiap kali mereka keluar bersama. 


Dia sebenarnya sukar untuk membuat keputusan ini tapi dia terpaksa membuat keputusan begitu. Permintaan dari seseorang yang sudah menjadi arwah patut dia tunaikan. Dia tak mahu menjadi orang yang pentingkan diri sendiri. 


Dia sayangkan Syafiqa kerana Syafiqa mampu membuatkan hidupnya ceria. Dia bertuah memiliki Syafiqa. Dia terlalu cintakan Syafiqa. Tak sanggup dia untuk berpisah dengan Syafiqa tapi bila dia teringat dengan permintaan kakaknya dua bulan yang lalu dia rela menepikan perasaan itu. Bila melihat keadaan abang iparnya yang tak terurus selepas kematian kakaknya dia jadi kasihan lebih-lebih lagi kasihan pada kedua-dua anak saudara kembarnya yang tidak dapat merasai belaian kasih ibu.

Dia tahu Syafiqa seorang yang sukakan kanak-kanak. Dia pasti Syafiqa mampu untuk menjadi ibu yang baik pada anak-anak saudaranya. Sebab itulah kakaknya meminta dia melepaskan Syafiqa kerana kakaknya juga bersependapat dengannya.

Kakaknya takut anak-anaknya nanti mendapat pengganti yang salah dan lebih bimbang anak-anaknya di dera oleh ibu tiri. Bila difikirkan balik betul juga apa yang dikatakan oleh kakaknya itu. Di dada akhbar seringkali memaparkan kes penderaan. Dia tidak mahu anak-anak saudaranya turut menerima nasib yang sama.

Walaupun hatinya sukar untuk melepaskan Syafiqa kerana permintaan itu dia sanggup membuang rasa sukar itu. Demi masa depan anak-anak saudaranya dia rela melepaskan gadis kesayangannya. Hadim menarik nafas mengumpul sedikit kekuatan untuk memberitahu keputusannya yang perit untuk dikatakan.

"Yup saya tetap nak putuskan pertunangan kita" Sebaik berkata dia memandang ke langit. Cuba menyembunyi rasa kesedihan.

Syafiqa hanya mengangguk lemah sambil air mata dikit demi dikit mengalir ke pipi gebunya. Dia tak tahu nak kata apa lagi. Semua keputusan terletak di tangan keluarga lelaki. Tak kan dia mahu merayu kepada Hadim supaya menarik balik kata-kata itu. 

"Baikla kalau itu yang awak nak. Saya setuju awak putuskan pertunangan kita" Katanya dalam sedu-sedan. Hanya itu yang mampu diucapkannya. Ingin sekali dia menyapu air mata si gadis kesayangan tapi tangannya tetap kaku. Dia membiarkan Syafiqa menyapu sendiri air mata kekecewaan. Seketika...

"Nah" Syafiqa menghulurkan cincin pertunangan mereka yang baru sahaja dikeluarkan dari jari manisnya pada Hadim. Tiada guna lagi dia menyimpan cincin ini. Biarlah cincin ini kembali pada tuannya semula. Hadim masih di posisi yang sama. Dia membiarkan Syafiqa menghulurkan cincin tanpa menyambutnya.

"Kenapa awak tak nak amik cincin nih. Amikla. Antara kita dah tak ada apa-apa lagi kan. Buat menyemak aje kalau saya simpan cincin nih" Katanya sedikit keras sambil menyindir.

Geram dengan Hadim yang masih membiarkan tangannya menghulurkan cincin itu. Dia mencapai tangan kiri Hadim dan meletak cincin itu dalam tangan Hadim. Hadim tidak terasa dengan kata-kata itu. Memang benar apa yang Syafiqa kata. Bukan dia tak mahu mengambil cincin itu tapi cincin itulah akan dia gunakan untuk melamar Syafiqa bagi pihak abang iparnya nanti.

Sebaik cincin itu berada dalam genggamannya dia berpaling pada Syafiqa. Kini, giliran Hadim pula menghulur cincin itu. Syafiqa buat macam Hadim sebentar tadi. Nak tergelak Hadim dengan tingkah Syafiqa yang meniru tingkahnya tapi cuba disembunyikan.

"Awak amikla balik cincin ni" Kata Hadim lembut. Syafiqa mengerut dahinya. Tidak faham mengapa Hadim masih mahu dia menyimpan cincin itu.

"Nak buat apa? Awak simpan ajelah cincin tu. Nanti nak kahwin tak payah cari cincin lain lagi. Tak perlu membazir" Katanya menyindir Hadim lagi. Hadim menarik nafas. Seberapa banyak pun Syafiqa menyindir dia tak kan terasa. Lebih-lebih lagi pada orang yang dia sayang.

"Awak sindirlah saya seberapa banyak awak nak sindir. Saya tak kan terasa. Lepaskanlah segala kemarahan awak pada saya. Kalau awak nak pukul saya pukullah. Pukullah seberapa banyak awak nak. Saya rela tubuh saya cedera sebab awak. Kalau awak nak bunuh saya pun saya benarkan" Panjang lebar Hadim berkata.

Berubah wajah Syafiqa saat Hadim menyebut perkataan membunuh. Kalau sindir dengan pukul bolehlah lagi tapi kalau dah membunuh dah lain jadi. Tak pasal-pasal dia mati aku masuk penjara.

"Apa awak ni? Agak-agak la... awak ingat saya ni pembunuh ke nak membunuh orang. Tak pasal-pasal awak mati saya yang masuk penjara" Hadim sudah tersenyum. Sayang lagi rupanya kat aku.

"Sayang lagi awak kat saya yer?" Hadim cuba mengusik. Dia tahu Syafiqa marah tadi. Sebab itu Syafiqa menyindir segala. Dia memang tak terasa pun dengan kata-kata Syafiqa tadi.

"Dah awak tak sayangkan saya?" Soalan dijawab dengan soalan. Berubah air muka Hadim. Nak mengena Syafiqa dia sendiri yang terkena.

Syafiqa memandang tepat ke anak mata Hadim. Ingin mengetahui isi hati Hadim yang sebenarnya. Sekali lagi Hadim mengeluh. Hadim duduk atas pasir. Syafiqa turut duduk di sisi Hadim sambil merenung wajah lelaki yang telah bertakhta di hatinya semenjak empat tahun yang lalu. Tiba-tiba kenangan lama menerjah di ruang mata. Kali pertama Hadim melamarnya untuk menjadi kekasih. Bila teringat dia tersenyum.

"Kenapa tersenyum sorang nih?" Tegur Hadim tiba-tiba. Pantas Syafiqa mengeleng. Mata Hadim kembali terarah  pada ombak yang memukul pantai.

"Tipulah kalau saya cakap saya tak sayang awak. Kalau saya tak sayang awak tak kanlah kita bertunang kan"

"Kalau awak sayang saya kenapa awak putuskan pertunangan ini" Terkena lagi. Hadim mengeluh lagi. Mamat nih berapa kali nak mengeluh agaknya. Dia mendiamkan diri seketika.

"Saya putuskan pertunangan ini bukan sebab saya dah tak sayangkan awak. Saya benar-benar sayangkan awak. Saya benar-benar cintakan awak. Seboleh-bolehnya saya nak kahwin dengan awak tapi..." Hadim berhenti di situ. Hadim meraup mukanya berkali-kali. Syafiqa memandang Hadim sambil menunggu kata yang seterusnya. Tiba-tiba Hadim bangun. Dia pun turut bangun.

"Tapi apa?" Soalnya. Tak sabar Hadim meyambung bicara.

"Jomlah kita balik dulu. Dah gelap dah ni. Nanti dalam kereta saya sambung lagi" Syafiqa mengjongket bahu. Dia mengekori langkah Hadim menuju ke kereta.
****************
"Along, lambat balik. Mentang-mentanglah keluar dengan tunang sampai tak ingat nak balik rumah dah"  Usik Syazuna adik keduanya atau panggilan angah sambil menguyah maggi yang dimasaknya sebentar tadi.

"Kau tau apa. Busy body jer. Makan tu dulu sampai habis. Nanti tercekik baru tau" Syazuna tersengih mendengar kata alongnya. Syafiqa mengatur langkah ke tangga. Dia memanjat tangga dengan lemah. Macam mana dia nak memberitahu mak ayahnya nanti. Apakah mak ayahnya boleh terima dengan cadangan Hadim.

"Ahh..." Tiba-tiba perkataan itu keluar dari mulutnya tanpa sedar.

"Kenapa along?" Tanya angah sebaik mendengar keluhan kuat alongnya. Muka terkejut angah tunjukkan.

"Tak ada apala" Syafiqa hanya tersengih pada Syazuna.

"Along ni buat terkejut orang aje la"

Setelah siap makan malam, Syafiqa duduk di ruang tamu sambil menonton berita tv3. Dia memandang mak dan ayahnya silih berganti. Angah tak ada duduk dalam bilik barangkali. Study atau bergayut tak tahula tu.

"Mak, ayah along ada sesuatu nak beritahu mak ngan ayah ni" Kata Syafiqa lambat-lambat. Serentak itu mak ayahnya berpaling.

"Apa dia?" Soal emak.

"Erm... sebenarnya... emm ... macam nih... tadi Hadim mintak ... pu..." Tersekat-sekat dia hendak beritahu. Takut sebenarnya takut kedua ibubapanya marah. 

"Sebelum tu, mak ngan ayah kena janji mak ngan ayah jangan marah bila along beritahu ni" Puan Madiah dan Encik Rahim saling berpandangan. Pelik dengan kata-kata along.

"Along nak cakap apa? Siap kena janji lagi ni?" Soal ayah pula.

"Mak ngan ayah kena janji dulu. Kalau tak along tak nak bagitahu" Menggugut pulak aku ni.

"Iye! kami janji. Cakapla apa benda penting sangat tu" Jawab emak bagi pihak ayah. Siap kena janji mesti along ada buat salah ni, detik hati Puan Madiah.

"Sebenarnya... petang tadi Hadim mintak putus" Laju sahaja kata itu keluar. Kedua-dua mak ayahnya saling berpandangan.

"Kenapa pulak Hadim tiba-tiba mintak putus nih" Soal ayah sedikit meninggi. Syafiqa sudah menelan air liur.

"Tadi ayah dah janji tak nak marah. Janganla marah ayah" Pujuk Syafiqa.

"Abang ni. Cuba dengar dulu apa yang along nak cakap. Mesti ada sebab Hadim mintak putus. Along bagitahu mak kenapa Hadim mintak putus" Bela emak. Muka ayah sudah kendur kembali.

"Hadim mintak putus sebab... dia nak menunaikan permintaan arwah kak Wawa" Sekali lagi mak ada ayah menunjuk riak hairan. Tiba-tiba masuk nama arwah kak Wawa.

"Apa yang arwah minta? Sampai terpaksa korbankan ikatan kamu..." Puan Madiah tidak faham kenapa arwah meminta begitu.

"Hadim kata... arwah kak Wawa minta Along bernikah dengan Abang Zaril"

Mak dan ayah saling berpandangan. Terkejut dengan apa yang didengari sebentar tadi. Dia juga terkejut bila Hadim bagitahu itu permintaan Kak Wawa bila mereka berada dalam kereta tadi. Setelah Hadim menerangkan barulah dia faham kenapa Hadim minta putus. Hadim juga berada dalam kesukaran untuk membuat keputusan sebenarnya. Hadim terjerat dalam perangkap permintaan arwah dengan ikatan pertunangan mereka.

"Mak tak paham. Cuba along jelaskan lagi" Syafiqa mengeluh.

"Arwah tak mahu anak kembarnya jatuh pada orang yang salah kalau abang Zaril nak cari pengganti. Sebab itu dia minta Hadim putuskan pertunangan dan biarkan Along ambil alih tugas arwah kerana arwah tahu hanya along yang layak untuk jadi penggantinya dan menjadi ibu untuk anak-anaknya" Terang Syafiqa panjang lebar. Barulah Puan Madiah mengerti. Encik Rahim juga mengangguk faham.

"Angah juga layak along" Tiba-tiba Syazuna menyampuk. Entah bila mek ni berada kat sini pun tak tahu.

"Angah... tak baik menyampuk hal orang tua. Pergi masuk dalam" Tegur emak. Angah sudah menarik muka bila di tegur.

"Yalah... yalah angah masuk. Along, angah pun setuju kalau along terima abang Zaril. Abang Zaril pun kacak apa?" Sebaik sampai di anak tangga ke tiga angah bersuara lagi.

"Angah... " Giliran ayah pula menegur.

"Ok ok. Angah masuk dalam"

"Along macam mana? Along setuju ke dengan cadangan Hadim?" Soal Puan Madiah. Syafiqa sekali lagi mengeluh. Kenapalah manusia suka sangat mengeluh yer (jawab pembaca).

"Tak taulah mak. Tapi tadi Hadim dah melamar along bagi pihak abang Zaril. Along belum bagi lagi jawapan. Along kena fikir dulu. Abang Zaril pun sekarang dah tak terurus mak. Kembar tu pun mak cik Ramlah yang jaga. Abang Zaril sekarang ni betul-betul dah tak macam dulu. Asyik teringat dekat arwah jer. Kesian kat kembar tu"

Kasihan dia bila mendengar Hadim bercerita pasal abang Zaril tadi. Ingin sahaja pergi marah dekat abang Zaril kerana mengabaikan tanggungjawabnya pada anak-anak. Kerana dia anak-anak menjadi mangsa.

"Mak pun tak tahu nak cakap macam mana lagi. Along fikir dulu semasak-masaknya. Mak ngan ayah terima jer apa keputusan along. Kan bang?" Ayah hanya mengangguk. Setuju dengan kata-kata emak.

*******************
Sebaik masuk ke dalam rumah, dia menapak di ruang tamu. Puan Ramlah sibuk mengulit Nadia dan Naqib yang sedang lena tidur di dalam kelambu. Tak menang tangan dia menjaga kembar ini.

Kembar itu baru berusia dua bulan. Dua bulan itulah anak keduanya meninggal sebaik melahirkan kembar. Kini, dia yang menjaga kedua kembar itu. Ayahnya tak tahulah. Asyik dengan dunianya. Asyik mengingati arwah isterinya. Bukan sahaja kena jaga cucu menantu sekali dia jaga.

Dulu Zaril tinggal rumah sendiri tapi setelah kematian Wawa dia mengajak Zaril tinggal bersama. Tak kan nak biarkan kembar itu tinggal dengan ayahnya. Alamatnya tak terjagalah budak berdua tu. Lihatlah pula pada Zaril yang tak terurus. Diri sendiri tak terjaga nak jaga anak pula bukannya sorang tapi dua. Jadi, biarlah dia susah sedikit. Lagipun siapalah yang ada dalam rumah ni hanya dia, Hadim dan Najiha jer. Kalau ramai lagi meriah.

Semenjak dia jaga cucu-cucu rumahnya agak ceria. Puan Ramlah memandang anak ketiganya yang sudah menyandar di sofa. Tampak keletihan bercampur raut wajah kekecewaan. Dia tahu kenapa.

"Macam mana?" Soal Puan Ramlah. Hatinya terasa perit untuk beritahu. Menyempitkan dadanya. Dirinya sukar untuk menerima hakikat bahawa ikatan antara dia dengan Syafiqa sudah tiada lagi. Nak salahkan Kak Wawa kerana membuat permintaan yang sebegitu tak mungkin kerana kakaknya sudah menjadi arwah. Nak salahkan Tuhan juga tak mungkin kerana Tuhan tahu apa yang baik dan buruk untuk dirinya. Hadim meraup mukanya. Doanya moga Allah sentiasa berikan dia ketabahan dan ikhlas dalam pengorbanannya.

"Hadim dah putuskan pertunangan tadi. Dia boleh terima tapi pasal permintaan Kak Wawa tak taulah dia setuju ke tak nanti. Dia kata nak fikir dulu. Hadim harap dia dapat tunaikan permintaan Kak Wawa" Puan Ramlah hanya mengangguk.

Sekali lagi Hadim meraup mukanya. Dia tahu Syafiqa berat untuk menerima. Dalam kereta tadi pun, Syafiqa terus-terusan menolak tapi dipujuk juga Syafiqa tapi akhirnya Syafiqa berjaya juga dilembutkan. Yang dipinta Syafiqa hanya masa. Memang itu yang sebaiknya. Dia tak boleh terlalu memaksa Syafiqa untuk menerima. Kalau dia berada di posisi Syafiqa itu jugalah yang akan dia pinta.

"Mudah-mudahan. Achik janganlah terlalu memaksa Fiqa. Bagi dia masa untuk berfikir. Kalau dia tidak dapat  menerima kita tak boleh nak buat apa-apa. Macam mana dengan mak ayah Fiqa?"

"Tak tahula mama. Fiqa kata dia akan slow talk ngan mak ayah dia nanti. Harap-harap mak ayah Fiqa dapat merestui permintaan Kak Wawa. Abang Zaril kat mana mama?" Hadim mengalih topik sambil bangun menuju ke arah dua baby yang sedang lena tidur di buai mimpi. Barangkali la tu.

Dia tak mahu membincangkan lagi hal ini. Tunggu aje Syafiqa memberitahu keputusannya. Barulah ingin mengungkit kembali hal ini. Alangkah bahagianya kalau dia berada di tempat baby itu. Menjadi baby selamanya. Tak perlu memikirkan masalah - masalah yang timbul.

"Achik.. janganlah kacau baby-baby tu. Tadi baru jer tidur. Penat mama nak pujuk supaya tidur. Asyik menangis jer" Puan Ramlah menepuk kecil lengan anak ketiganya yang sedang mengacau. Cuit mulutla. Cuit  hidungla. Semakin di marah semakin di kacaunya.

"Comel kan anak-anak kak ngah. Tapi sayang, tak sempat kak ngah nak tengok anak-anaknya lahir" Ujar Hadim sayu.

Puan Ramlah memandang kembar-kembar tu dengan wajah sayu. Juga kasihan melihat. Tiba-tiba air matanya bergenang. Teringat saat anaknya masih hidup. Dikesatnya kembali air mata. Tidak mahu terusan bersedih. Orang yang telah pergi biarkan pergi. Orang yang masih hidup perlu teruskan hidup.

"Abang Zaril kamu tu tak tahulah macam mana. Asyik terperap dalam bilik aje. Ajak makan tak nak. Nak jenguk anak-anak apatah lagi. Abang kamu tu macam mayat hidup dah mama tengok. Tak terurus. Kalau Abang Zaril kamu tu dapat pengganti Kak Ngah tak lah dia terusan teringat kat arwah. Terjaga jugaklah budak berdua tu nanti bila dia dah kahwin nanti"

"Achik pun fikir macam tu jugak. InsyaAllah ma. Achik akan cuba pujuk Fiqa. Hanya Fiqa aje calon yang sesuai menjadi pengganti Kak Ngah sebagaimana yang Kak Ngah harapkan sebelum ni" Puan Ramlah hanya menggangguk. Harap-harap Syafiqa dapat menerima.

******************
Dua minggu kemudian...

Hari ini Syafiqa berada di rumah Hadim. Hadim yang menjemputnya tadi. Hadim membawanya ke sini untuk melihat keadaan bakal suaminya. Memang benar apa yang dikatakan oleh Hadim dua minggu lalu.

Abang Zaril dah tak macam orang. Orang gila adalah kot. Astaghfirullahalazim Fiqa. Jaga sikit mulut tu. Hatinya berbisik. Hati jahatnya pula menyambung. Memang betul apa yang aku kata. Rambut panjang. Misai berterabur. Macam orang gila betul. Macam orang dalam hutan pun ada jugak. Mengucap Fiqa orang yang kau kata itu akan jadi suami ko nanti. Sory yer hati baik terlupa dia bakal jadi suami aku nanti.

Dia merapati Abang Zaril yang termenung di tingkap. Wajah yang menderita itu dipandangnya dengan penuh kasihan. Kasihan sungguh dirasakannya. Apa tidaknya. Diri tak terurus. Wajah yang kacak bertukar jadi hodoh. Sampai begitu sekali penangan arwah.

Walaupun sudah masuk dua bulan Abang Zaril masih belum bisa menerima hakikat bahawa wanita yang dicintai sepenuh jiwanya telah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Ini membuktikan bahawa Abang Zaril betul-betul sayangkan Kak Wawa. Kalau tak sayang tak adalah dia jadi macam nih sekali.

Matanya dipandang pula pada makanan yang tidak berusik di meja sisi. Pasti Abang Zaril masih belum makan lagi, hatinya berdetik. Dicapainya talam yang berisi nasi dan lauk campur dan duduk di sisi Abang Zaril. Diceduknya nasi dengan sudu lalu disuakan pada Abang Zaril. Abang Zaril masih termenung merenung langit yang cerah. Membiarkan wanita di sebelahnya menghulurkan nasi.

Dia tahu siapa yang datang kerana pagi tadi Hadim sudah memberitahunya yang Syafiqa akan datang menjenguknya. Dia juga sudah tahu Hadim sudah memutuskan pertunangan mereka dan dia tahu Syafiqa sudah menerima lamarannya. Dia malu. Malu pada Syafiqa dan malu pada semua yang ada dalam rumah ni.

Terus dipandangnya langit yang cerah tapi dia sedikit pun tidak terkuit dengan alam ciptaan Tuhan. Yang diingati sekarang ini hanya bayangan wajah Wawa. Tanpa Wawa hidupnya tidak terasa lengkap walaupun dia sekarang sudah mempunyai anak-anak sebagai pengganti Wawa. Baginya itu tidak sama.

Sejak dua bulan itu, hatinya tidak terasa ingin memeluk anak-anaknya hatta menjenguknya. Dunianya hanya di sekitar dalam bilik ini. Yang didengari hanya suara anak-anaknya menangis. Dia tahu anak-anak memerlukannya tapi dia tidak gagah untuk sama-sama mengharungi bersama anak kembarnya.

Bukan dia menyalahkan anak kembarnya tapi dia masih tidak mampu melupakan seraut wajah insan yang paling disayangi dan dicintai sepenuh hatinya. Dia kalau boleh mahu menggantikan nyawanya dengan Wawa. Biar dia lenyap dalam dunia ini.

Lagipun dia sudah tiada mak ayah. Hanya Wawa dan keluarga ini yang menjadi keluarganya. Air mata lelakinya kembali lagi menghiasi ruang kelopak mata. Dia masih tidak mampu untuk menghalang air mata itu dari keluar. Betapa rapuhnya hati seorang lelaki apabila kehilangan cinta yang terlalu kuat.

Syafiqa kembali meletak sudu dalam pinggan nasi. Hatinya tiba-tiba tersentuh melihat air mata seorang lelaki pada dasarnya seorang yang ego. Tapi, berhadapan dengan Abang Zaril tiada keegoan yang ditunjukkan oleh lelaki itu. Tidak segan silu membuang egonya di hadapan seorang wanita.

Berbeza dengan Hadim, dia tahu Hadim sedih dengan perpisahan mereka tapi Hadim sedaya upaya mempertahankan egonya. Dia ingatkan semua lelaki suka menunjukkan ego tapi ternyata dia silap. Rupanya hati seorang lelaki juga akan rapuh bila benteng keegoannya pecah.

"Abang Zaril makan yer. Mak Cik Ramlah kata abang tak makan lagi sejak semalam. Fiqa suapnya?" Ujarnya sambil menyenduk kembali nasi lalu disuakan pada Abang Zaril. Abang Zaril masih tetap begitu.

Di celah pintu Hadim memandang dengan penuh perasaan cemburu. Antara kau dengan Syafiqa sudah tidak ada hubungan lagi. Buat apa lagi kau harus cemburu. Kau sendiri yang mahu melepaskan dia semata-mata kau mahu menurut permintaan arwah Kak Wawa. Jadi, kau tak layak untuk terus cemburu. Lepaskanlah dia dengan rela hati. Hati baiknya berbisik.

Yer, aku tak layak. Kenapa harus aku cemburu? Ya Allah, jangan biarkan perasaan cemburu menguasai aku. Aku ingin ikhlas dalam pengorbanan ini. Dia menjauh dari pintu bilik abang Zaril. Tidak mahu menambahkan lagi perasaan cemburu itu.

Kesabarannya sedikit tercabar dek kebisuan abang Zaril. Ingin sahaja dia memarahi abang Zaril kerana membiarkan dia menghulur sudu itu. Tapi disabarkan hati. Dia sekarang berada di rumah Hadim. Dia perlu menjaga batas perlakuannya. Dia meletak kembali sudu dan talam tadi di meja sisi. Dia pasti abang Zaril tak kan makan walaupun dipujuk beribu kali. Nak pujuk orang tua berbeza dengan pujuk budak-budak.

"Tak apalah kalau abang Zaril tak nak makan. Yang susah abang Zaril jugak kan. Tak apalah abang Zaril. Fiqa dah nak balik. Fiqa datang sini nak jenguk dan berbual-bual dengan abang Zaril tapi kalau abang Zaril asyik duk membisu macam ni lebih baik Fiqa balik. Ah.. sebelum Fiqa balik, Fiqa nak basuh kepala abang Zaril sikit.."

"Fiqa nak abang Zaril ingat kak Wawa telah amanahkan pada Fiqa untuk jaga abang Zaril dan anak-anak abang Zaril. Jadi, dua bulan akan datang Fiqa tak nak abang bersedih macam nih lagi"

"Fiqa tak nak abang Zaril teringat dekat arwah lagi. Abang Zaril kena ingat kak Wawa tak kan 'pernah' kembali lagi walaupun abang Zaril menangis air mata darah sekalipun. Kita sebagai manusia harus terima hakikat bahawa semua manusia yang hidup atas muka bumi ini pasti akan mati cuma kita tidak tahu ajal kita bila"

"Macam arwah kak Wawa ajalnya sudah sampai sebab itulah Allah ambil nyawa dia. Allah sayangkan dia. Kalau abang Zaril sayangkan kak Wawa abang Zaril harus lupakan arwah. Baca doa dan yassin untuk arwah moga rohnya tenang di alam sana bukannya abang Zaril menderita kat sini" Ceramahnya panjang lebar. Dia menekankan perkataan 'pernah' agar abang Zaril sedar bahawa arwah isterinya tak kan pernah kembali lagi.

Dipandang seketika wajah abang Zaril. Abang Zaril tetap membisu. Air mata masih menghiasi ruang matanya. Terkesankah abang Zaril dengan kata-katanya ini.

Di dudukinya tepi katil dan menarik nafas. Dia mahu membasuh kepala abang Zaril dengan sebersih-bersihnya.

'Terasa kering pulak tekak ni bila bercakap banyak. Baik aku minum dulu. Dia bukannya nak minum pun. Daripada masuk cicak lebih baik aku minum'Di capai air masak atas talam lalu meminumnya. Seketika dia menyambung lagi.

"Mulai sekarang Fiqa nak abang Zaril fikirkan pasal anak-anak. Jangan biarkan mereka hilang kasih seorang ayah pula setelah mereka kehilangan kasih ibu"

"Mereka memerlukan kasih sayang dan perhatian seorang ayah. Kasihanla pada anak-anak kecil abang Zaril tu. Kasihanla jugak pada mak cik Ramlah yang sanggup jaga anak-anak abang Zaril"

"Abang Zaril, dengarlah nasihat Fiqa ni. Jangan biarkan kesedihan menyelubungi diri. Selagi abang Zaril biarkan rasa kesedihan itu menguasai diri selagi itulah kesedihan akan terus mengikuti abang Zaril"

"Maafkan Fiqa kalau apa yang Fiqa cakap ni mengguris hati abang Zaril. Fiqa harap abang Zaril berubah dan kembali macam dulu. Kalau kak Wawa masih hidup pun, dia pasti kecewa dengan abang Zaril. Pasti kak Wawa tak mahu tengok abang Zaril bersedih macam nih"

"Itu jer Fiqa nak cakap. Tak apalah abang Zaril Fiqa nak balik dulu. Abang Zaril ingatlah kata-kata dari seorang yang akan menjadi pengganti arwah isteri abang Zaril ni. Assalamualaikum..."

Dia mencapai beg sandangnya di atas katil dan hendak berlalu dari situ. Sudah cukup rasanya dia membasuh kepala abang Zaril. Terpulang pada abang Zaril samaada hendak menerima atau tidak kata-katanya. Sampai di muka pintu, abang Zaril memanggilnya. Dia berhenti dan tak jadi melangkah keluar.

**************
Dua bulan kemudian...

"Aku terima nikahnya Syafiqa Binti Rahim dengan mas kahwin rm 200 tunai" Dengan sekali lafaz sahaja Syafiqa sah menjadi isteri Zaril Bin Zalman. Selepas habis ijab qabul Zaril menghampirinya untuk membatalkan air sembahyang.

Hadim hanya mampu memandang bekas tunangannya menjadi milik orang lain. Sepatutnya hari inilah hari bahagianya bersama Syafiqa. Perkahwinannya dengan Syafiqa. Tapi sekarang tiada guna lagi untuk menyesal kerana dia sendiri yang membenarkan Syafiqa menjadi milik abang iparnya. Hadim bangun. Tidak mahu melihat Syafiqa dikucup mesra oleh Zaril. Tidak mahu hatinya bertambah cemburu.

Syafiqa memandang Hadim yang sedang menuju ke muka pintu masjid. Sedari tadi dia memerhati wajah Hadim yang sayu. Dia tahu Hadim kecewa. Tapi dia tak boleh nak lakukan apa-apa sebab ini juga sebahagian rancangan Hadim.

Zaril sedang menghampirinya lantas dia berpaling pada Zaril. Zaril menurun lututnya lalu mencium dahinya. Syafiqa dan Zaril hanya tersenyum cuma. Tiada rasa untuk lebih gembira pada hari yang bahagia ini.

Malamnya...

Semua tetamu yang hadir sudah bersurut pulang. Kecuali pihak pengantin lelaki yang sebahagiannya masih ada. Puan Ramlah masih berbual dengan ahli keluarga Syafiqa.

Hadim pula tercongok di luar rumah. Melihat bintang di dada langit yang berkilauan. Malam yang gelap bisa cerah bila diterangi dengan pancaran bulan dan bintang. Betapa agungnya ciptaan Tuhan. Begitulah juga dengan apa yang di alaminya kini. Semua yang berlaku itu adalah aturan Tuhan. Takdir Allah.

Sebagai manusia dia hanya mampu pasrah dan redha dengan apa yang telah ditentukan. Hadim mengeluh sambil meraup mukanya berkali-kali. Hadim berpaling sebaik menyedari seseorang sedang menyentuh bahunya. Dia tersenyum pada Zaril. Zaril duduk bertentangan dengannya di meja bulat.

"Abang nak minta maaf pada Hadim. Kerana abang Syafiqa terpaksa menjadi milik abang" Zaril rasa serba salah. Kerana permintaan arwah isterinya, Hadim terpaksa membatalkan pertunangannya dengan Syafiqa.

"Tak apalah abang. Itu juga permintaan dari arwah Kak Wawa. Hadim sebagai adik patut menunaikan permintaan kakak kandung Hadim kan"

"Tapi, Hadim boleh menolak bila Kak Wawa meminta Hadim buat macam tu. Ini melibatkan perasaan Hadim dan Syafiqa. Yang menjadi mangsa Hadim dan Syafiqa jugak. Abang rasa serba salah sangat bila pertunangan Hadim diputuskan" Bicara Zaril sedikit emosional.

"Tak perlulah abang nak rasa bersalah. Hadim redha abang. Anggap ajela Hadim dengan Syafiqa dah tak ada jodoh. Hadim cuma harapkan abang jagalah Syafiqa sebaik-baiknya sebagaimana abang jaga arwah Kak Wawa sebelum ni. Syafiqa seorang yang baik. Bertuah abang memilikinya. Hadim yakin Syafiqa mampu menjadi isteri dan ibu yang baik pada abang ngan anak-anak abang" Giliran Zaril pula mengeluh. Tak lama selepas itu dia mengangguk.

"Terima kasih Hadim. Hadimlah adik abang dunia akhirat. InsyaAllah abang akan jaga Syafiqa sebaik-baiknya"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan