Datanglah Semangat

13 September 2013

Ku Tetap Milikmu


Petang tadi dia telah menerima satu sampul surat sebesar A4 yang berwarna coklat. Di situ tertulis namanya tanpa alamat mahupun setem. Sampul surat itu seolah-olah dihantar oleh seseorang. Dia tidak tahu siapa yang menghantarnya. Sebaik loceng berbunyi, terus dia keluar dan didapati tiada orang dan dia terpandang sampul surat itu di dalam peti surat. Terus dia mengambilnya. Setelah masuk ke dalam rumah, dia terus menuju ke sofa dan dia sudah tidak sabar untuk mengetahui isi kandungan dalam sampul surat itu. 

Sebaik sampul itu dibuka, tangannya terus mengambil isi dan dikeluarkan. Saat itu, hatinya bagai disiat-siat. Wajahnya pucat. Kalau dihiris, tidak berdarah. Remuknya hati apabila melihat gambar-gambar di atas meja kopi yang berserakan. Tidak menyangka suaminya akan berlaku curang di belakangnya. Patutlah semenjak dua menjak ini suaminya sering pulang lewat malam. Apabila di tanya suaminya hanya memberitahu banyak kerja dipejabat. Masa itu dia tidak berfikir suaminya akan berlaku curang. Dia hanya mengiyakan sahaja apabila suaminya sudah berkata begitu kerana dia begitu mempercayainya. Tapi kali ini kepercayaannya semakin menghilang. Apakah dia masih boleh mempercayakan suaminya itu?

Dia menanti kepulangan suaminya dengan hatinya yang walang. Tidak pernah dia menyangka suaminya akan menduakannya di belakangnya. Apakah salahnya sehingga suaminya tega melakukan perkara seperti itu? Bila mengingatkan gambar yang mengaibkan itu, dia terasa jijik. Segala kelakuan lelaki itu terhadapnya juga dianggap jijik. Geli geleman bila mengingatkan itu semua. 

Kedengaran enjin kereta berhenti di perkarangan banglonya. Dia memandang jam di dinding. Baru 8.30 malam. Awal betul suaminya balik. Selalunya sudah pukul 10 lebih baru suaminya pulang. Hari ini lebih awal. Pelik tapi tidak dihiraukan kepelikan itu. Mungkin gadis yang bersama suaminya tidak jadi keluar itu yang balik awal. Mungkinlah!!! Dia pun tak mahu ambil tahu perihal pasangan haram itu. Yang dia tahu hatinya tengah sakit kini. Hatinya bagai disiat-siat kemudian ditumbuk-tumbuk sehingga hancur lumat.

Winda masih setia di sofa. Gambar-gambar yang diterima siang tadi masih setia di atas meja kopi tetapi telah diterbalikkannya dan disusun ke atas dengan kemas. Tujuannya supaya  suaminya nampak gambar tersebut dan tanpa perlu dia sendiri beritahu. Sebanyak sepuluh gambar yang diterimanya dengan pelbagai aksi dan adegan. Sudah boleh dibuat filem lagaknya. Adegan dan aksi yang panas sering laku dipasaran. Mungkin berjuta-juta dapat dikutip oleh producer jika filem itu berjaya. Kayalah mereka.

Walaupun hatinya sakit, dia masih lagi mampu untuk bersabar. Tapi tidak tahulah kalau selepas melihat suaminya, dia sudah tidak mampu menahan sabar lagi. Nazri datang menghampirinya dengan senyuman yang terukir. Gembira semacam saja suaminya hari ini.  Briefcase yang dipegang Nazri diletakkan di sebelah sofa berhampiran isterinya. Dia terus mencecah punggungnya di sebelah Winda tanpa perasan wajah isterinya ketika itu. Winda dari tadi memeluk tubuh dan kakinya disilangkan. Wajahnya usahlah dikata. Petang tadi, air matanya sudah menitis tatkala melihat gambar-gambar itu. Kini, entah kenapa air mata itu sudah tidak mahu keluar. Mungkin perasaannya semakin kosong sejak mengetahui suaminya bermain cinta dengan perempuan lain.

Winda mendengar keluhan lega dilepaskan suaminya. Kepala Nazri kini sudah berada di pehanya dan tangan kanan Nazri sedang menggosok pehanya. Nazri cuba bermesra dengan memberi sentuhan sambil mata terpejam. Sentuhan telah diberikan, tapi Winda bagai patung yang tidak bernyawa.  Tidak memberi sebarang tindak balas terhadap sentuhannya. Apa sudah jadi dengan isterinya kini? Tak kan tiba-tiba berubah menjadi patung. Tidak logik di akal kalau manusia boleh bertukar menjadi patung. Selalunya isterinya yang bermanja dengannya. Tapi hari ini tidak pula. Apa yang telah berlaku? Dibukak matanya yang terpejam tadi. Sahlah. Isterinya sudah menjadi patung. Tidak bergerak dari tadi. Dia mendapat satu akal. Dia cuba menggeletek isterinya tapi Winda tetap kaku. Tidak memberi sebarang respon.

“Kenapa ni sayang? Abang tengok sayang dah macam patung cendana. Tak bergerak dari tadi. Kenapa ni... hmmm...?” Sekali lagi Nazri cuba memberi sentuhan dengan mencium leher isterinya pula. Winda sudah tidak kaku seperti tadi tapi Winda cuba mengelak sentuhan itu. Segala kelakuan suaminya dianggap jijik. Tiba-tiba dia teringat perempuan itu. Apakah suaminya bermesra dengan perempuan itu seperti Nazri bermesra dengannya tadi? Geli geleman dia dengan apa yang difikirkannya.

Winda menjauhkan dirinya dari suaminya tapi Nazri semakin menghampirinya sehingga Winda tersepit di hujung sofa. Winda cuba untuk bangun tapi tangannya sempat ditangkap sehingga dia terduduk di atas ribaan suaminya. Apa lagi Nazri pantas memeluknya erat. Winda cuba melepaskan rangkulan tangan suaminya, tapi ternyata tangan sasa milik suaminya tidak mampu untuk dia rungkaikan. Terpaksalah dirinya dipeluk erat walau hatinya tidak rela diperlakukan sedemikian ketika hatinya sedang berdukalara. 

Nazri sekali lagi melakukan sentuhan dengan menggesekkan pipinya ke badan Winda. Winda menjadi tidak selesa. Setelah dia merasakan pelukan sudah tidak seerat tadi, pantas dia berdiri menjauhkan dirinya. Dia sudah tidak rela dirinya dibelai setelah dia tahu tangan milik suaminya juga telah membelai perempuan lain selainnya. 

Ingin sahaja dihamburkan rasa hatinya yang sakit itu. Tapi entah kenapa mulutnya seolah berkunci. Nazri cuba mencapai tanggannya tapi Winda pantas mengelak. Kalau hatinya sudah sakit, Nazri lakukan apa pun untuk menarik perhatiannya dia tetap tidak terpedaya walau Nazri cuba membuat helah sekalipun.

Kali ini Nazri mendengus. Dia sudah tidak mampu menahan sabar lagi. Sentuhan tidak dibalas. Pertanyaannya juga tidak dijawab. Datang bulan ke isterinya ini.

“Kenapa sayang buat abang macam ni? Abang bagi sentuhan, Winda tak bagi respon. Abang cuba bermesra, Winda cuba hendak menjauhkan diri dari abang. Pertanyaan abang juga Winda tak jawab. Apa salah abang sampai Winda buat abang macam ni?” Terhambur segala kata-kata tidak puas hatinya. Suara yang tadi lembut kini bertukar nada. Winda sedikit terkejut dengan suara tinggi suaminya. Sejak tiga tahun mereka kahwin, tidak pernah suaminya mengeluarkan suara bernada tinggi begitu. Mungkin salahnya juga yang tidak menghiraukan suaminya itu.

Suara tingginya juga tidak mampu membuatkan Winda memberi respon. Akhirnya, keluhan diberikan.

“Maaf... Abang tak patut tinggikan suara macam tu. Cuba Winda bagitahu abang, apa salah abang?” Kini nada itu sudah bertukar lembut. Kasihan pula melihat suami yang beria-ria ingin tahu kesalahannya. Tapi kenapa dia patut kasihan, sedangkan suaminya tidak kasihan padanya sehingga tergamak berlaku curang. Hatinya menghalang tapi hatinya yang satu lagi mempertahankan supaya tidak mengasihani suaminya. 

Kali ini dia harus beralah, demi anak dalam kandungannya yang baru dia tahu yang dia telah hamil pagi tadi setelah dia buat check-up sendiri dengan test pregnancy. Gembiranya tidak terkata sebaik melihat dua garisan merah. Walaupun dia tidak pasti, tapi haidnya sudah terlewat tiga minggu. Sesungguhnya dia sudah lama menantikan kehadiran bayi ini sejak tiga tahun yang lalu. Sekiranya benar dia mengandung, betapa bersyukurnya dia dengan anugerah Tuhan ini.

“Cuba abang tengok atas meja kopi tu. Baru abang tahu kenapa Winda buat abang macam tu.” Akhirnya dia sudi berkata setelah keluhan dilepaskan. Seiring katanya pandangan suaminya jatuh pada meja kopi. Dia pula sudah mengambil tempat di sofa berhadapan suaminya. Dia ingin melihat reaksi suaminya.  

Sebaik pandangan jatuh pada gambar yang tersusun elok, dia terus mencapai gambar itu dan dilihatnya satu persatu sambil matanya menunjukkan rasa terkejut yang teramat. Gambarnya dengan seorang perempuan dengan pelbagai aksi dan adegan. Yang paling tidak disangka, gambarnya dengan perempuan itu ketika di atas katil. Mereka tidur bersama tapi ketika itu dia tidak sedar. Dia tersedar keesokan paginya dan membuat alasan tertidur di pejabat setelah Winda bertanya pada pagi itu. Dia tidak menyangka Sherry akan mengambil gambar ketika mereka bersama dan lebih tidak sangka Sherry sanggup menghantar gambar itu kepada isterinya dan berniat untuk menghancurkan rumah tangga mereka. Fahamlah dia kenapa isterinya bertindak begitu. Hati isteri mana yang tidak sakit bila dapat tahu suaminya curang. Lebih-lebih lagi di belakang.

Winda memandang Nazri tanpa perasaan. Dia mengharapkan penjelasan daripada suaminya kenapa suaminya sanggup curang di belakangnya. Kalau suaminya sudah kemaruk nak kahwin satu lagi dia boleh beri walau hatinya berat untuk bermadu. Sebagai isteri, dia rela walau tak sanggup dimadukan. Tanyalah pada sesiapa pun, pasti antara mereka tidak suka suami mereka berpoligami.

Nazri merapati isterinya. Dia melutut depan Winda. Dia menyentuh lembut tangan isterinya. Dan Winda sudah tidak mengelak seperti tadi. Winda membiarkan tangannya dikucup mesra. Lama tangannya berada di bibir suaminya sebelum Nazri meminta maaf.

“Abang minta maaf. Abang tak sengaja berlaku curang di belakang Winda. Abang pun tak tahu kenapa abang boleh buat Winda macam tu sedangkan abang tahu Winda tiada cacat celanya. Abang sayangkan Winda, cintakan Winda. Abang benar-benar minta maaf sayang. Abang benar-benar minta maaf .” Lembut dan lirih suara Nazri berkata-kata. Dia benar-benar menyesal dengan perbuatannya. Dia memandang Winda dengan mata berkaca. Mengharapkan kemaafan daripada isterinya itu. 

Sebaik mendengar minta maaf yang bertalu-talu keluar dari bibir suaminya, hatinya terusik. Dia memandang ke atas tidak mahu air matanya jatuh berguguran. Tapi ternyata air matanya yang jatuh tidak mampu lagi dihalang. Dia membiarkan air mata itu mengalir dan terus mengalir seperti air terjun.

Setelah air matanya berhenti, dia mula berkata-kata. Suaranya sudah mula serak basah.

“Alasan apa yang abang nak bagi pada Winda sedangkan gambar itu jelas yang abang curang di belakang Winda. Alasan apa lagi bang. Alasan apa lagi. Seluruh kepercayaan yang Winda bagi pada abang sudah semakin terhakis. Apakah Winda masih boleh mempercayai abang?” Winda berjeda dan ayat terakhirnya, dia memandang suaminya dalam. Masihkah dia boleh mempercayai suaminya itu.

Dia perlu berterus terang. Dia tidak mahu isterinya kecewa lagi. Cukuplah dia menanam duka dalam  jiwa Winda. Air mata di pipi isterinya meruntun hatinya. Tidak sepatutnya dia membuat Winda begitu. Winda seorang yang baik dan wanita sebaik Winda tidak layak untuk diduakan.

“Ya! Semua gambar itu benar tapi gambar di atas katil itu sama sekali tidak benar. Abang tak buat sesuatu yang menyalahi agama. Abang sendiri tidak tahu macammana abang boleh berada di situ dengan wanita itu. Seingat abang, abang hanya berada di club bersama-sama kawan abang. Pagi itu baru abang tersedar. Sumpah! Abang tidak buat apa-apa dengan perempuan itu. Percayalah,” terang Nazri apa yang telah berlaku pada malam itu. Tapi itu masih belum dapat mengembalikan rasa kepercayaannya pada Nazri.

“Kalau abang tak bersalah, kenapa abang tak berterus terang pada Winda tentang kejadian malam itu. Winda tahu berterus terang itu susah, tapi sekurang-kurangnya abang berterus terang pada Winda walau Winda sukar untuk terima. Tapi kenapa abang harus menipu sedangkan selama ini abang tidak pernah menipu Winda.” 

“ Abang beritahu Winda yang abang tertidur di pejabat sebab masa itu abang tak tahu patutkah abang berterus terang dengan Winda. Abang tak mahu Winda kecewa setelah tahu tentang itu sebab itu abang mereka cerita yang abang tertidur di pejabat. Abang masih setia pada Winda. Abang tak sanggup menduakan Winda. Percayalah sayang. Abang masih sayangkan Winda sejak lima tahun lalu dan cinta abang pada Winda tetap tak berubah walau umur abang sudah dimamah usia. Abang tetap milik Winda selamanya.” Dia terharu di hujung kata suaminya tapi benarkah lelaki itu akan menjadi miliknya selamanya. Bolehkah dia mempercayai kata-kata suaminya itu?

Winda menarik nafas seketika sebelum berkata lagi buat kali terakhir. Dia sudah kehilangan kata. 

“Winda tak tahu nak kata apa lagi. Winda pun sayangkan abang, cintakan abang. Tapi, sejak kehadiran gambar-gambar itu, perasaan sayang, perasaan cinta Winda pada abang, seolah-olah berterbangan. Menjauh pergi dari Winda dan Winda tak tahu ke mana itu semua pergi. Winda tak tahu abang.” Sekian kalinya air mata itu jatuh lagi. Tangisan Winda sudah semakin menebal. Bait bicara Winda menuntun hati lelakinya. Dia pantas menarik Winda dalam pelukannya dan tangisan Winda terus bersambung dalam dakapannya. Dia terus memeluk isterinya, memberi kehangatan pada tubuh dan jiwa Winda. Kedua-dua mereka berpelukan sehingga ke pagi dan mereka terus tertidur di situ tanpa sedar.
.................................................

Sejak kehadiran gambar-gambar itu, hubungan mereka suami isteri semakin dingin. Lebih-lebih lagi sejak dia disahkan mengandung. Segala kelakuan suaminya, sedikit pun tidak menarik perhatiannya hatta Nazri membuat lawak. Tidak sedikit pun dia tergelak. Jiwanya kosong.  Walau dimasukkan batu besar ke dalam jiwanya, keberatan batu itu pun tidak mampu menampal balik jiwanya yang kosong. 

Sudah lima bulan berlalu, dia masih belum dapat menerima hakikat yang suaminya curang. Untuk memaafkan suaminya juga teramat sukar. Entah kenapa dia sukar untuk memaafkan suaminya walau itu kesalahan pertama suaminya. Hatinya yang tercalar mungkin belum sembuh, itu yang menyebabkan dia sukar untuk memaafkan. 

Sejak hari itu, Nazri tidak lagi pulang lewat dan jarang keluar daripada tempat kediaman mereka hatta hari minggu. Nazri lebih suka duduk di rumah sahaja menemaninya. Tapi, dia tidak tahulah pula kalau hari bekerja Nazri masih keluar dengan perempuan itu atau masih berhubungan. Dia sudah tidak mahu mengambil peduli tentang semua itu. Nazri hendak buat apa buatlah asalkan dia masih kekal menjadi isteri Nazri. Itulah tekadnya sejak hari pertama dia berkahwin dengan Nazri kecuali Nazri yang ingin melepaskannya.

Selama lima bulan ini, Nazri mengikut sahaja rentak Winda. Melayan Winda dengan sebaik-baiknya walau tindakan Winda semakin hari semakin dingin. Dia bersabar dengan segala kerenah Winda. Sejak malam itu, dia bertekad untuk mengembalikan semula kepercayaan Winda padanya. Dia juga sudah tidak lagi menjalin hubungan dengan Sherry. Walaupun Sherry pernah datang ke pejabatnya mengajaknya keluar, tidak pernah sekalipun dia mengikuti Sherry sebab dia tidak mahu Sherry beranggapan yang mereka masih lagi berhubungan. Dia hanya mahu bersama Winda seorang sahaja sehingga nafasnya yang terakhir.

Winda masih belum tahu kenapa dia menjalin hubungan dengan Sherry. Sebabnya dia rasa rumah tangganya kosong tanpa kehadiran bayi. Sudah masuk tiga tahun mereka berkahwin dan mereka masih belum dikurniakan anak. Kerana itu, dia cuba menduakan Winda dengan harapan dia bertemu dengan seseorang yang boleh memberikan dia zuriat. Ternyata dia tersilap pilihan. Sherry tidak sesuai menjadi isteri keduanya. Lebih-lebih lagi apabila Sherry cuba meruntuhkan mahligai yang dibinanya dengan hasil cintanya bersama Winda. Dia mengetahui Winda hamil keesokannya apabila pagi itu Winda muntah-muntah, dan tengah hari itu dia membawa Winda berjumpa doktor. Doktor mengesahkan Winda hamil dua minggu. Sejak itulah, dia bertekad untuk terus memutuskan hubungannya dengan Sherry dan memberi sepenuh perhatian pada isterinya dan juga pada anak yang bakal lahir. Walaupun Winda masih belum memaafkannya di atas perbuatannya itu, dia perlu membaik pulih semula hubungan mereka yang telah retak. Dia perlu mendapatkan semula perasaan sayang dan cinta dari isterinya itu.

Tengah hari itu, semasa Winda tengah menyiapkan makanan, dia mendapatkan isterinya di dapur. Dia datang ke arah belakang Winda yang ketika itu sedang mengacau gulai ayam. Dia meletakkan dagunya di bahu kiri Winda dan kedua-dua tangannya memeluk perut Winda yang semakin jelas ke depan. Alhamdulillah kali ini Winda tidak mengelak. Dia mencium pula leher isterinya dan Winda juga tidak menepis sentuhan manja itu. Winda juga sebenarnya rindu belaian suaminya tapi dia lebih mementingkan egonya. 

Nazri masih memeluknya erat dan berkata sesuatu di tepi telinganya.

“Selepas makan tengah hari nanti, kita keluar yer.” Hanya itu katanya sebelum mencium pipinya dan berlalu ke ruang tamu.

Setelah suaminya beredar, dia tersenyum bahagia. Walaupun dia sentiasa mengelak, Nazri tidak jemu dan tak pernah jemu bahkan sentiasa mengikuti kerenahnya. Dia sedar suaminya sudah banyak berubah dan dia pun sudah tidak dingin seperti sebelumnya. Tetapi, kepercayaan terhadap suaminya yang masih belum kembali. Baginya sukar untuk mendapatkan semula kepercayaan setelah seluruh kepercayaan yang diberikan telah dirobek oleh suaminya sendiri.

Seperti yang dijanjikan, Nazri membawa Winda shopping di  Mega Mall. Tujuan Nazri membawanya ke situ untuk membeli baju mengandung untuknya memandangkan perutnya semakin membesar dan dia memerlukan baju yang besar untuk disarungkan ke badannya. Setelah memilih beberapa helai baju mengandung, mereka berdua menuju ke tempat barang-barang bayi. Bukannya hendak membeli sengaja mencuci mata. Orang kata, kandungan 7 bulan ke atas adalah masa yang sesuai untuk membeli barang keperluan bayi. Winda tertarik dengan warna pink tetapi Nazri lebih berminat dengan warna biru. 

“Sayang! Abang sukalah warna biru. Lembut sahaja abang tengok warna ni.” Katanya setelah melihat beberapa barangan bayi yang berwarna biru laut. Dia memandang Winda yang sentiasa berada di sebelahnya dan tangan kanannya sentiasa memegang tangan Winda tanpa sedikit pun dilepaskannya.

“Tapi, Winda suka warna pinklah abang. Apa kata kita bertaruh, kalau anak kita ni lelaki abang boleh pilih warna sesuka hati abang, tapi kalau perempuan Winda yang pilih. Abang setuju tak?” Soalnya pada si suami sambil melayangkan senyuman. Nazri mengangkat kening. Menarik. Tapi Nazri pasti, dia yang akan menang. Bagi Winda pula dia yang akan menang.

“Okay, abang setuju.” Winda tersenyum lebar. Dia pasti akan menang pertaruhan itu.

Selepas selesai shopping, mereka keluar dari kedai anakku. Sebaik keluar, mereka bertembung pula dengan Sherry. Winda ingat-ingat lupa siapa perempuan yang berada di hadapan mereka. Nazri pula menelan air liur dan memerhati raut wajah isterinya kalau-kalau isterinya perasan dengan perempuan itu. Winda menayangkan wajah blur. ‘itu tandanya Winda tidak perasan dengan Sherry,’ telah hatinya.  

Tidak disangka, Sherry akan berjumpa bekas teman lelakinya di Mega Mall. Kecik sungguh dunia. Dia memandang Nazri dan kemudian berpaling pada Winda kemudian jatuh pada perut wanita itu.

‘Sudah mengandung rupanya, patutlah Nazri memutuskan hubungan mereka lima bulan lalu,’ hatinya berkata-kata.

“Jom sayang kita pergi,” ajak Nazri sambil menarik tangan isterinya berlalu dari satu. Lebih baik dia mengajak Winda pergi dari situ sebelum Winda ingat siapa perempuan itu. Dia tidak mahu hati Winda kembali terluka dan seterusnya mengingatkan kembali gambar-gambar lepas. Kesemua gambar itu telah dibakar dan dilupuskan.

Sebelum sempat mereka berdua melangkah, Sherry terlebih dahulu bersuara.

“Dulu, bukan lagi bersayang-sayang. Tapi bila isteri dah mengandung kita ditinggal-tinggalkan.” Sebaris perkataan itu sudah mampu membuatkan hati Winda berubah rentak. Tiba-tiba dia teringat gambar yang diperolehinya lima bulan lalu.

Dia berpaling memandang tajam wanita itu yang tersenyum sinis. Tangannya masih dalam genggaman Nazri. Erat. Seolah memberi kekuatan padanya saat berhadapan dengan perempuan  yang cuba merampas suaminya. Cantik juga orangnya tapi pakaian seolah tidak cukup kain. 

“Baru saya teringat. Awaklah perempuan yang berada dalam gambar tu.” Ayat itu membuatkan Nazri menelan air liur. Rupanya Winda masih ingat wajah Sherry. Walaupun gambar sudah dilupuskan tetapi ia tak dapat dilupuskan dalam mindanya. Raut wajah perempuan itu tersimpan kemas dalam kotak memorinya.

“Kau ingat lagi? Hmm... Baguslah kalau kau masih ingat lagi. Kau dah tahu ke kenapa Nazri curang di belakang kau?” Sherry cuba menyakitkan hati Winda dengan mengingatkan kembali memori terburuk itu. 

Soalan yang diutarakan itu membuatkan dia berpaling pada suaminya. Apa maksud perempuan itu berkata begitu? Nazri hanya memandangnya sahaja tanpa berkata apa-apa. Tangannya masih kemas dalam genggaman Nazri.

Dia berpaling semula pada wanita yang tidak diketahui namanya itu. Nazri cuba menarik tangannya supaya berlalu dari situ tanpa mengeluarkan sepatah suara. Tapi, Winda memaku keras kakinya. Pasti wanita itu tahu kenapa kalau tidak masakan wanita itu bertanya dia begitu. Kalau dia tidak dapat mendengar sendiri sebab kenapa dari bibir suaminya, biarlah dia mengetahui sebabnya dari bibir wanita itu walau apa yang telinganya dengar nanti mungkin menyakitkan.

Sherry memandang Winda dengan senyuman sinis. Pasti isteri Nazri belum tahu, kalau tidak isteri Nazri tidak menunjukkan riak wajah begitu. Sherry bergerak ke depan sedikit supaya dia nampak jelas wajah terkejut wanita itu nanti. Dia akan menyakitkan hati wanita itu sebagaimana Nazri menyakiti hatinya. Sejak berkenalan, bukan main lagi Nazri berjanji itu ini dengan syarat dia menjadi isteri kedua kerana dia tak akan pernah menceraikan isterinya. Tapi, itu hanya tinggal janji dan apa yang lebih menyakitkan Nazri memutuskan hubungan mereka. Dia tidak tahu kenapa. Tapi, setelah berjumpa dengan dua manusia itu barulah dia mengerti sebabnya.

“Pasti kau belum tahu bukan. Okay, aku akan beritahu sebabnya.” Sekali lagi Shery menguntum senyuman sinis. Winda semakin sakit hati melihat senyuman mengejek itu. Kalau boleh dia ingin berlalu dari situ, tapi dia benar-benar ingin tahu sebabnya. Kalau dia menanti penjelasan daripada suaminya, entah bila Nazri akan memberitahunya.

“Sebabnya..” Sebelum sempat Sherry meneruskan katanya, Nazri terlebih dahulu mencantas dengan menjerit nama Sherry.

“Sherry...”

“Abang! Biarlah dia bercerita. Winda perlu tahu sebabnya. Kalau Winda tak tahu sekarang, entah bila Winda dapat tahu.” Sejak tadi dia diam, kini dia menyampuk. Sudah tidak tahan apabila suaminya cuba menghalang wanita yang bernama Sherry itu memberitahu sebab kenapa suaminya curang. Nasib dia bertemu dengan perempuan yang bernama Sherry itu, kalau tidak sampai bila pun dia tidak akan tahu kenapa suaminya bertindak curang sedangkan sebelumnya Nazri seorang suami yang baik. Mungkin baik di depannya. Di belakangnya dia tidak tahu.

Nazri cuba menarik tangannya lagi, tapi cepat-cepat dia cuba melepaskan pegangan tangan. Dia kaku di situ. Nazri sudah tidak mampu menghalang. Semuanya akan tersingkap sekejap sahaja lagi. Winda membuka telinganya selebar-lebarnya supaya apa yang Sherry katakan nanti akan terus melekat di otak.

“Dia curang dengan kau sebab dia kata kau ni mandul. Tak boleh melahirkan anak untuk dia. Dia menjalin hubungan dengan aku, sebab dia nak sangat anak. Tapi, dia tak boleh ceraikan kau sebab dia kata kau cinta pertama dia. Dia akan setia dengan kau sampai mati dan dia akan meneruskan hubungan dengan aku secara rahsia.” Tidak menyangka suaminya mengatakan dia mandul. Tergamak Nazri cakap dirinya begitu. Saat dia memandang Nazri, suaminya hanya menunduk. Pasti suaminya tidak berani bertentang mata dengannya.

“Dia juga pernah janji dengan aku macam-macam kalau aku sudi menjadi isteri keduanya. Aku bukanlah perempuan yang suka berkongsi suami. Sebab itu aku rancang semua tu dan aku menghantar semua gambar tu sebagai bukti yang suami kau curang supaya nanti kau meminta cerai daripadanya. Tapi, apa yang aku dapat. Dia tinggalkan aku tanpa menunaikan sebarang janji yang telah dia buat. Baru sekarang aku tahu kenapa dia tinggalkan aku. Sebab sekarang kau sedang mengandungkan anaknya. Aku ingatkan kau betul-betul mandul, tapi ternyata kau masih lagi subur. Atau mungkin itu hanya alasan untuk dia berlaku curang. Opps... Siapa tahu hati lelaki. Takkan pernah cukup kalau seorang.” Setiap patah perkatan yang keluar dari mulut perempuan itu bagai menghiris hatinya satu persatu. Sakitnya hati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Matanya yang berkaca cuba ditahannya supaya perempuan yang bernama Sherry itu tidak bersorak gembira kerana telah berjaya membuatkan hatinya sakit. Setelah mendengar dari bibir perempuan itu, baru kini dia tahu siapa sebenarnya pemilik nama Nazri Haidar. Rupanya suaminya hanya berkelakuan baik di depannya. Di belakang ternyata suaminya lebih teruk sehingga sanggup menuduh dirinya mandul.

Nazri kaku tapi matanya memandang raut wajah isterinya yang keruh. Terkejut, tergamam, tidak menyangka semuanya pasti bercampur baur. Pasti selepas ini, isterinya akan kembali dingin. Baru sahaja dia cuba untuk mengembalikan kepercayaan Winda terhadapnya, tapi ia dicalarkan kembali dengan kata-kata yang cukup menghiris hati isterinya. Hendak menyalahkan Sherry tidak boleh, kerana dia sendiri yang bercakap begitu dengan Sherry dahulu. Menyesal kemudian sudah tiada gunanya lagi. Kalau perahu hanyut boleh membawa kembali ke darat, tapi tersilap kata selamanya ia tidak mampu ditarik semula. Hanya dengan kemaafan sahaja yang boleh mengembalikan segala kekhilafan. Tapi, bolehkah Winda memaafkannya setelah dua kali dia melukakan hati dan jiwa isterinya.

Setelah puas menyingkap segala cerita, dia ingin berlalu dari situ. Sudah puas melampiaskan rasa sakit hatinya yang terbuku sejak sekian lama. Sherry mendekati Winda dan berkata sesuatu di telinga Winda sebelum berlalu dengan gelak yang panjang. 

“Aku tak tahulah kalau aku tak rancang semua tu, pasti kini dia menjadi milik aku dan kita sudah bermadu. Pasti kau suka makan madu, bukan?”

Setelah Sherry berlalu, air mata yang ditahan sejak tadi akhirnya pecah dan menuruni pipinya yang mulus. Nazri cuba memegang tangan Winda tapi Winda cepat mengelak. Winda melangkah dan terus melangkah tanpa sekalipun berpaling ke belakang. Nazri pula hanya mengekori isterinya ke mana langkahan kaki Winda. Dia perlu membiarkan Winda bersendirian merawat lukanya yang tercalar.
..........................................

Sejak perjumpaan dengan perempuan itu, Winda semakin dingin dengan Nazri. Walaupun begitu, dia masih melayan Nazri seolah-olah tiada apa yang berlaku. Walau Nazri curang dengannya dia masih setia bersama kerana janji yang telah dibuat. Dia terpaksa terima segala perbuatan termasuk kata yang sangat menghiris hatinya. Dia tidak pernah menyangka sama sekali suami yang dicintainya separuh mati sanggup mengeluarkan perkataan itu seolah-olah dia seorang isteri yang tidak berguna kerana dia tidak mampu melahirkan anak. Kini, perkataan itu menjerat leher suaminya sendiri memandangkan sekarang dia sedang mengandungkan anak Nazri.

Sering kali dia teringat perkataan yang satu itu, air matanya menitis. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa pedihnya hati bila mengenangkan itu semua. Demi anak dalam kandungannya ini, dia harus bersabar. Sesungguhnya dia tidak mahu anaknya nanti tidak berbapa. Kerana itu dia perlu mempertahankan rumah tangganya selagimana dia boleh bertahan.

Nazri mendekati Winda yang sedang tidur di atas katil. Winda membelakanginya. Dia tahu Winda masih belum tidur kerana sekejap tadi badan Winda terhenjut-henjut seolah-olah sedang menahan tangis. Setiap kali melihat air mata Winda, hati lelakinya sakit. Kerana dia, hati Winda terluka. Kerana dia, hidup Winda menderita. Kerana dia juga, hati dan jiwa Winda terseksa. Kenapa dia boleh melakukan itu semua? Betapa kejamnya dia melakukan itu pada isteri tercinta.

Dia membaringkan tubuhnya di sebelah Winda dan memeluk isterinya itu. Winda tidak menolak tangan sasanya yang sedang menggosok perut Winda yang semakin membungkit. Tak lama lagi Winda akan melahirkan anaknya. Betapa bersalahnya dia bila mengatakan isterinya mandul. Dia tidak sepatutnya mengeluarkan perkataan itu. Dia sepatutnya bersabar menanti kehadiran cahaya mata. Jika dia bersabar sedikit masa lagi, sudah pasti Winda tidak akan menderita seperti ini.

“Maafkan abang... Abang tahu abang tidak layak untuk Winda maafkan. Abang telah banyak buat Winda terluka. Tapi, demi anak kita abang harap Winda dapat maafkan abang. Kalau Winda tidak dapat maafkan abang, abang tak boleh buat apa-apa. Abang sedar segala yang berlaku abang yang mulakan. Memang tidak sepatutnya Winda maafkan abang.” Winda hanya mampu menangis. Dia sudah mati kata. Sejak pertemuan itu sehingga kini. Hanya mata dan badannya sahaja yang berbicara.

Hari yang dinantikan hampir tiba. Hujung minggu itu, setelah mengemaskan rumah, dia duduk di sofa. Nazri pula entah ke mana. Keretanya ada. Mungkin Nazri berada di bilik bacaan. Kebiasaannya, Nazri berada di bilik itu setelah bersarapan pagi. Menyambung kerja mungkin. Ketika menonton televisyen, perutnya terasa senak. Seolah-olah masa untuk dia bersalin hampir tiba. Kalau mengikut jangkaan sepatutnya seminggu lagi. Mungkin anaknya sudah tidak sabar untuk menjengah dunia yang indah ini.

Perutnya teramat sakit. Dia menjerit sekuat hati memanggil suaminya.

“Abang!!!”

Nazri yang leka dengan kerjanya, pantas turun ke bawah sebaik mendengar suara isterinya berteriak memanggilnya. Dengan wajah yang cemas, dia mendapatkan Winda yang sudah bangun sambil memegang perutnya.

“Winda dah tak tahan bang. Sakit sangat.” Wajah Winda berkerut menahan sakit. Jemarinya memegang kemas tangan Nazri. Sebagai kekuatan ketika dia mengerang kesakitan.

“Tahan yer sayang. Kita pergi sekarang.”

Nazri pantas membawa Winda ke hospital yang tidak berapa jauh dari tempat kediaman mereka. Sebaik sampai, Winda terus di bawa masuk ke wad bersalin. Ketika dalam wad, Winda meminta seorang nurse memberitahu suaminya. Dia mahu Nazri menemaninya sehingga dia selamat bersalin. Doktor wanita yang bernama Halimah itu telah memberikan kebenaran untuk membenarkan suaminya bersama-samanya ketika proses bersalin.

Nazri yang berada di luar, terus mendapatkan nurse. Dengan wajah yang cemas dia terus bertanya mengenai isterinya.

“Macam mana nurse, isteri saya dah bersalin?”

“Belum lagi encik. Rahim Puan Winda hanya terbuka beberapa cm. Doktor telah memberi kebenaran pada encik untuk bersama-sama dengan Puan Winda ketika proses bersalin. Sila ikut saya encik.” Nazri hanya mengangguk. Dengan peluang yang diberikan ini, dia akan menemani Winda sehingga isterinya selamat bersalin. Semoga dengan ini, dapat menginsafkan dirinya tatkala melihat isterinya bertarung nyawa. Semoga lepas ini juga dia tidak akan menyakiti hati Winda lagi.

Nazri yang memakai baju warna hijau merapati Winda yang terlantar di atas katil. Sekejap sahaja lagi Winda akan melahirkan anaknya. Dia tersenyum pada Winda dan Winda turut membalas. Winda hendak berkata sesuatu pada suaminya. Nazri mendekatkan telinganya.

“Abang... Winda nak meminta maaf. Selama ini Winda tak layan abang dengan baik. Maafkan Winda yer bang. Halalkan juga segala makan minum Winda. Satu lagi abang. Winda nak abang tahu, Winda sayangkan abang dan cintakan abang selama-lamanya.” Air matanya menitis tulus. Nazri yang mendengar bicara Winda sebak. Air matanya juga sudah keluar. Dia mengesat air mata Winda begitu juga dengan Winda.

“Abang maafkan sayang. Dan abang juga nak minta maaf kerana abang Winda terluka.” Tangan mereka masih berada di pipi. Masing-masing saling memberi kehangatan dalam keadaan begini.

“Dah lama Winda maafkan abang... Cuma Winda tak tahu nak cakap dekat abang.” Sekali lagi dia tersenyum manis menandakan dia benar-benar sudah memaafkan Nazri setulus hatinya.

Ketika pasangan suami isteri berbicara, doktor Halimah yang bertindak menyambut kelahiran bayi tiba-tiba bersuara.

“Encik Nazri, Puan Winda. Pintu rahim puan sudah terbuka hampir 10cm, sekejap lagi puan boleh meneran yer.” Winda hanya mengangguk. Dia kembali memandang suaminya. Mereka sama-sama tersenyum.

“Okay puan, kalau saya kata teran, puan teran yer.” Sekali lagi Winda mengangguk. Setelah merasai pintu rahim Winda benar-benar sudah terbuka 10cm, doktor Halimah menyuruh Winda bersedia. Nazri mencium ubunnya sebelum dia bersedia untuk meneran.

“Bersedia yer puan. Okay puan... Teran.” Winda meneran dengan sekuat hatinya. Badannya terangkat. Dahinya berpeluh dan tangannya menggenggam tangan Nazri kuat. Tangannya yang satu lagi memegang besi di tepi katil. Semakin dia meneran semakin dia menggenggam kuat tangan Nazri. Walaupun tangan Nazri sakit digenggam Winda tetapi dia lebih sakit melihat Winda meneran dengan sedaya upayanya. Hatinya benar-benar tersentuh dengan kekuatan Winda yang tidak cepat mengalah untuk melahirkan anaknya. Bagi Winda, walaupun dia sakit dengan kehadiran Nazri di sebelahnya kesakitan itu seolah-olah pergi. Kekuatan yang diberikan Nazri menjadi penyuluh semangat dia untuk terus meneran sehingga ke titisan terakhir.

“Sudah nampak kepala bayi, puan. Sekali lagi yer puan. Kali ini, puan perlu meneran lebih lama. Okay puan... Teran...” Dengan wajah yang berkerut, sekali lagi dia cuba meneran dengan sekuatnya. Kali ini lebih kuat lagi.

Akhirnya, tangisan bayi menggegarkan ruang wad bersalin. Sebaik mendengar tangisan anaknya, Nazri mengucapkan syukur. Alhamdulillah semuanya telah selamat. Winda yang masih lemah, dipandangnya dengan penuh kasih sayang. Dia mencium ubun Winda dan saat itu Winda tersenyum ke arahnya. Walaupun masih lagi lemah, dia sempat lagi mengukir senyuman. Senyuman itu adalah senyuman gembira kerana dia telah berjaya melahirkan zuriat buat suaminya.
........................................

Kini, Winda sudah boleh balik ke rumahnya. Sepanjang berpantang dia dijaga oleh ibunya. Sesekali ibu mertuanya ada juga menjenguk mereka. Kedua-dua ibunya seronok mempunyai cucu terutama sekali ibunya. Kerana itu cucu pertamanya.

Setelah merengek hendak menyusu tadi, terus sahaja bayinya itu tertidur di ribanya. Dia mencium ubun-ubun anaknya dengan penuh kasih sayang. Tiba-tiba dia tersenyum apabila teringat pertaruhannya dengan Nazri dahulu.

“Aik... Ibu tersenyum sorang-sorang. Mesti ada apa-apa ni.” Nazri datang menghampiri Winda dan tatkala itu dia dapat menangkap senyuman yang terukir di bibir isterinya itu. Dia duduk di sebelah Winda dan kemudian mencium ubun-ubun bayinya.

“Tak ada apa-apa. Winda cuma teringat je.” Winda berjeda. Nazri memandang Winda dengan wajah yang tertanya-tanya. Takut juga dia kalau-kalau Winda teringat tentang hal itu. Dia faham dengan wajah itu kemudian dia tergelak.

“Winda teringat pasal pertaruhan kita hari itu. Abang tak ingat?” Nazri sudah boleh menarik nafas lega. Ingatkan isterinya teringat tentang hal itu. Nasib baik. Kalau tak pasti Winda akan terluka lagi. Dia sudah tidak sanggup melihat air mata Winda. Cukuplah yang dulu.

“Mestilah abang ingat. Ternyata abang yang berjaya. Sayang tak kecewa kan?”

“Ada jugak... Hehehe.... Tak adalah. Winda okay jer. Winda tak kisah anak kita lelaki ke perempuan. Yang penting anak kita membesar dengan sihat dan menjadi anak yang soleh.” Nazri mengangguk sebab dia juga berpendapat yang sama.

“Kalau sayang kecewa pun tak pa. Nanti kita boleh buat lagi. Sayang nak tak? Jom?” ajak Nazri dengan senyuman menggoda sambil mengenyit mata. Tangannya sudah memegang tangan Winda seolah mahu menarik Winda bangun. Winda pantas mencubit lengan Nazri dan Nazri terjerit kecil.

“Gatal. Kalau abang nak tunggu anak besar dulu.”

Nazri buat muka kecewa.

“Ala sayang. Sayang beranak ramai pun tak pa. Abang suka anak ramai. Kalau boleh abang nak...” Nazri tidak menghabiskan ayatnya tapi dia mengangkat kesepuluh jarinya. Sekali lagi dia tersenyum nakal.

“Amboi... abang ingat Winda ni mesin basuh. Boleh muat banyak baju?”

Nazri hanya gelak dengan perumpamaan yang dicipta Winda.

Setelah menidurkan anaknya, dia kembali ke sisi suaminya yang sedang merenung langit malam di beranda. Dia memeluk suaminya dari belakang. Tangannya dipegang supaya memeluk suaminya erat. Kemudian, Nazri menarik tangannya. Kini, Nazri pula memeluknya erat dari belakang.

“Abang nak ucapkan terima kasih pada sayang sebab masih setia pada abang. Terima kasih juga sebab sudi memaafkan abang. Dan terima kasih sebab melahirkan zuriat buat abang.” Ucapnya di telinga Winda. Winda yang mendengar terasa sejuk hatinya.

“Winda pun nak ucapkan terima kasih pada abang sebab sabar melayan kerenah Winda walaupun Winda tak melayan abang dengan baik. Terima kasih juga sebab menghadiahkan Winda anugerah yang terindah.”

“Anugerah terindah?” Tanyanya tidak mengerti.

“Anak kitalah. Itulah anugerah terindah sebagai lambang sayang dan cinta abang terhadap Winda. Dialah pengikat jantung kita berdua. Semoga kehadiran anak kita dapat mengeratkan lagi hubungan kita suami isteri. Winda berharap Windalah jodoh abang dan kita dikekalkan bersama sehingga ke nafas yang terakhir.” Itulah yang dia harapkan selama ini.

“Insha Allah... Windalah jodoh abang yang telah ditetapkan Allah di lauhul mahfuz. Abang tetap menjadi milik Winda selama-lamanya.” Hujung kata Nazri membuatkan Winda tersenyum lebar. Nazri mengucup pipi isterinya. Lama.

“Ku tetap milikmu. Ku tetap milikmu. Ku tetap milikmu Selamanya.” Tiga kali Nazri mengulang ayat itu dan Winda hanya mampu tergelak. Malam yang berbintang penuh menjadi saksi dua manusia yang bersatu atas nama cinta, janji setia untuk terus kekal selama-lamanya. Jika sudah tertulis jodoh mereka, tiada siapa yang dapat menghalang hatta badai melanda.


~ TAMAT ~



Tiada ulasan:

Catat Ulasan